Payung sebagai teknik penjarakan sosial unik di Kerala

Menurut pihak berkuasa, payung yang dibuka akan memaksa orang lain untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada pemegang payung. Foto – Twitter T.M. Thomas Isaac

MASYARAKAT di hampir setiap negara disaran untuk mengamalkan penjarakan sosial dan duduk di rumah bagi mengekang pandemik COVID-19.

Bagi penduduk di sebuah kampung di Kerala, India, selain penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman, mereka turut disarankan untuk mengguna payung bagi mencegah jangkitan koronavirus.

Idea unik itu diperkenalkan badan kerajaan tempatan kampung Thanneermukkom di Kerala dan merupakan inisiatif Menteri Kewangan negeri T.M. Thomas Isaac.

Katanya, apabila payung dibuka, ia akan memaksa orang lain untuk menjarakkan diri sekurang-sekurangnya satu meter daripada payung tersebut.

Badan kerajaan itu turut memberi subsidi bagi penjualan payung di kedai-kedai koperasi serta menawarkan pelan pembayaran secara beransur bagi mereka yang tidak mampu.

Selain itu, sebanyak 12,000 payung akan disalurkan kepada penduduk kampung berkenaan.

Teknik mengekang penularan COVID-19 di Kerala mendapat pujian dan perhatian daripada media antarabangsa.

Kerajaan Kerala bertekad mengambil langkah-langkah proaktif sejak kes koronavirus pertama dikesan di negeri itu pada 30 Januari apabila seorang pelajar bidang perubatan pulang dari Wuhan, China.

Berbanding negeri lain, Kerala yang dipimpin Parti Komunis India memiliki pembangunan sosioekonomi yang kukuh termasuk infrastruktur kesihatan yang mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi.

Secara keseluruhan, India merekodkan 26,917 kes positif dan 826 angka kematian akibat COVID-19 setakat Ahad.