Pelajar tingkatan enam, penuntut jurusan diploma dapat bantuan RM200

KEMENTERIAN Kewangan memutuskan untuk memperluaskan pemberian bantuan RM200 (one off) kepada setiap pelajar tingkatan enam, penuntut jurusan diploma dan lain-lain yang setara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian itu turut termasuk kepada pelajar di institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Amanah Raya (MARA).

“Dengan perluasan ini, peruntukan disediakan dinaikkan daripada RM270 juta kepada RM300 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.5 juta pelajar.

“Di samping itu, kementerian yang terbabit akan mempercepatkan jadual bayaran kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang layak daripada Mei kepada hujung April ini.

“Kerajaan berharap bantuan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar IPT dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan RM200 (one off) kepada setiap penuntut sepenuh masa IPT membabitkan pelajar matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik serta Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN).