Pelanggan juga boleh buat ‘u-turn’

PELANGGAN yang berasa ‘terpedaya’ dengan penangguhan bayaran ansuran kepada institusi kewangan selama enam bulan boleh membuat ‘u-turn’ dengan melunaskan pembayaran seperti biasa.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini berkata, pelanggan bagi pinjaman Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang pada mulanya menerima moratorium ini boleh menukar fikiran.

“Pelanggan boleh membatalkan penangguhan ini dan membuat bayaran balik seperti biasa.

“Malah, institusi kewangan tidak akan mengenakan apa-apa caj bayaran lewat kepada peminjam yang mengambil keputusan untuk tidak menyertai moratorium sekarang,” katanya.

Menurutnya, institusi kewangan akan memaklumkan tempoh masa yang diberikan untuk membayar ansuran yang ditangguhkan sejak 1 April 2020 dan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) juga tidak akan terjejas asalkan pelanggan menjelaskan jumlah bayaran terbabit dalam tempoh masa pembayaran balik yang dimaklumkan.

“Jika pelanggan perlukan lebih banyak masa untuk menjelaskan pembayaran, hubungi institusi kewangan masing-masing bagi membincangkan tempoh masa pembayaran balik yang baharu,” katanya.

BNM berkata, institusi kewangan akan memberikan maklumat lanjut kepada peminjam berhubung penyambungan semula pembayaran selepas tempoh penangguhan.

Ini kerana antara pilihan yang diberikan termasuklah melanjutkan tempoh bayaran balik atau menambah jumlah bayaran ansuran bulanan.

Selain itu, peminjam dinasihati supaya berbincang dengan institusi kewangan mereka jika perlu mengubah jadual pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan disebabkan oleh keadaan kewangan mereka sekarang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan