Peluang keemasan erat silaturahim

RAMADAN tahun ini sememangnya berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Penyanyi yang semakin meningkat naik, Kucaimars tidak melepaskan peluang menggunakan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini menghabiskan masa bersama keluarga.

“Ramadan kali ini berbeza. Walaupun ada banyak kekurangan yang mungkin dirasakan sesetengah orang, kadang-kadang saya rasa situasi Ramadan seperti ini adalah lebih baik,” katanya.

Menurutnya, ini masa yang sesuai untuk dihabiskan bersama keluarga dan mengeratkan silaturahim.

“Ramadan yang berlangsung dalam tempoh PKP ini membuka ruang untuk saya menghabiskan masa bersama keluarga. Kalau tahun lalu, saya hadir banyak majlis berbuka puasa dan tak ada banyak peluang berbuka bersama keluarga.

“Berbeza dengan tahun ini, setiap malam saya dapat habiskan waktu bersama keluarga melakukan ibadat seperti mengaji al-Quran,” katanya.

Ditanya apakah detik terindah setiap kali menjelang Ramadan, Kucaimars atau nama sebenarnya Amirul Husyairi Nani berkata, dia rindukan untuk bersolat Tarawih di masjid.

“Selalunya, antara aktiviti ibadat yang menambahkan ‘feel’ dalam Ramadan adalah menunaikan solat Tarawih di masjid. Apabila tak dibenarkan melakukannya, kita rasa seperti ada sedikit kekurangan.

“Namun, itu semua menjadi kenangan yang membuatkan saya teruja dengan kehadiran Ramadan setiap tahun,” katanya.

Selain beribadat dan meluangkan masa bersama keluarga, Kucaimars banyak menghabiskan masa menghasilkan karya baharu.

“Sejak PKP bermula, saya hasilkan beberapa lagu baharu dan menambah koleksi lagu ciptaan saya. Setakat ini, dah ada sekitar tiga hingga empat lagu yang saya sudah hasilkan. Insya-Allah, ia akan dikeluarkan pada masa akan datang. Single baharu saya selepas ini pun adalah hasil ciptaan saya sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai single terbaharu berjudul Mudah Bagimu itu, penyanyi berusia 23 tahun ini sepatutnya melancarkannya Mac lalu.

“Disebabkan PKP, semuanya ditunda dan saya serta pihak pengurusan sedang mencari masa yang tepat untuk melancarkannya,” katanya.

Kucaimars juga bimbang sekiranya momentum namanya mula menurun kerana terlalu lama mendiamkan diri.

“Ada juga rasa risau, tapi saya cuba sebaik mungkin untuk kekalkan momentum itu dengan banyak berinteraksi bersama peminat.

“Selain itu, saya juga menghasilkan beberapa kandungan ‘online’ contohnya, sedikit sedutan pendek daripada lagu baharu itu. Sekurang-kurangnya, apabila ia dilancarkan kelak, peminat sudah tahu bagaimana corak lagunya,” katanya.

Ditanya mengenai kerja yang terbantut kerana PKP, Kucaimars berkata, ada beberapa persembahan yang terpaksa dibatalkan.

“Kalau diikutkan, ada empat hingga lima persembahan yang dibatalkan dan ada satu yang ditunda ke tarikh lain. Selain itu, ada juga tawaran lakonan yang saya terima, namun tidak dapat diteruskan buat masa sekarang.

“Ada rasa sedih juga kerana itu sepatutnya menjadi drama pertama lakonan saya. Namun, saya faham dengan situasi sekarang dan PKP juga adalah untuk kebaikan semua orang,” katanya.

Kucaimars mendoakan krisis ini dapat ditangani segera dan seluruh masyarakat dapat kembali menjalani kehidupan dengan normal baharu.

JALANI Ramadan ketika PKP buka ruang untuk Kucaimars habiskan masa bersama keluarga
JALANI Ramadan ketika PKP buka ruang untuk Kucaimars habiskan masa bersama keluarga