Pelukan rindu 20 tahun

PELUKAN erat disulami linangan air mata, melerai rindu yang sarat ditanggung pemuda ini terhadap ibu bapa kandungnya selepas dia diserahkan kepada keluarga angkat di Ampang di Kuala Lumpur, 20 tahun lalu.

Pertemuan semula pada Sabtu lalu menjadi kenangan terindah buat tiga beranak berkenaan bersama ahli keluarga lain yang selama ini tidak pernah bersua muka.

Muhammad Hidahyat Jamaludin, 20, berkata, dia sangat takut dan berdebar untuk bertemu ibu bapa kandung serta adik-beradiknya selepas mengetahui dirinya hanya anak angkat kepada keluarga yang menjaganya.

“Saya tahu saya anak angkat pada usia enam tahun dan Ramadan tahun lalu, saya memberanikan diri menghantar mesej di Facebook (FB) kepada seorang wanita kerana naluri saya kuat mengatakan dia ibu kandung saya.

“Ini kerana wanita itu tidak pernah lupa menitipkan ucapan hari jadi di FB sejak saya berusia 12 tahun, malah satu gambar anak lelaki yang dikongsinya di FB mirip muka saya.

“Alhamdulillah naluri saya tidak silap. Wanita itu ibu kandung saya yang sudah lama saya nantikan dan gambar dikongsinya adalah abang saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

MUHAMMAD Hidahyat (kanan) bersama bapa angkatnya yang menjaganya.
MUHAMMAD Hidahyat (kanan) bersama bapa angkatnya yang menjaganya.

Muhammad Hidahyat dimaklumkan ibunya, Azilawati Mohd Noor, 48, bahawa dia anak bongsu daripada tujuh beradik dan diserahkan kepada keluarga angkat kerana keluarga kandung yang menetap di Pahang tidak berkemampuan.

Katanya, mereka berhubung menerusi sosial media selama setahun pada 2019 namun tidak pernah bertemu kerana dia tiada keberanian.

Malah, dia juga tidak menyalahkan ibu bapanya atau menganggap dirinya dipinggirkan, sebaliknya takdir Allah menentukan keadaan itu berlaku.

“Sabtu lalu buat pertama kali saya berjumpa dengan keluarga kandung di majlis pernikahan kakak di Bangi, Selangor. Baru sekarang saya ada kekuatan untuk berjumpa mereka.

“Sebelum ini memang saya tidak pernah bertanya mengenai keluarga kandung walaupun dimaklumkan perkara sebenar pada usia enam tahun. Keluarga angkat menjaga dan menyayangi saya seperti anak sendiri, jadi tidak anggap hal ini membebankan,” katanya.

MUHAMMAD Hidahyat (bulatan) bertemu keluarga kandungnya buat kali pertama ketika majlis perkahwinan kakaknya di Bangi, Selangor.
MUHAMMAD Hidahyat (bulatan) bertemu keluarga kandungnya buat kali pertama ketika majlis perkahwinan kakaknya di Bangi, Selangor.

Dalam pertemuan singkat itu, pekerja swasta itu memberitahu tidak banyak cerita yang dapat mereka kongsi, termasuk abang keenamnya yang ada memberitahu pernah mencari dia dan melihatnya secara sembunyi di tempat kerja.

Katanya, dia akan cuba meluangkan masa bersama keluarga kandungnya dalam pertemuan akan datang dan mahu mengenang perjumpaan pertama itu sepanjang hayatnya.

Video mengenai pertemuan pertama itu dikongsi Muhammad Hidahyat di Twitter hingga mendapat tontonan lebih 250,000, lebih 17,000 tanda suka dan 8,000 ulang ciap.