Pemandu jengkaut dituduh bunuh isteri [METROTV]

Kota Tinggi: Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima tuduhan membunuh isterinya serta memiliki senjata api tanpa kebenaran, 1 Mac lalu.

Mahkamah bagaimanapun tidak merekodkan sebarang pengakuan dengan tertuduh, Mohd Hanafi Patahur Rahim, 43, hanya menyatakan faham, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Mohd Hanafi dituduh membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias ,38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana di sini, kira-kira jam 3.30 pagi, 1 Mac lalu.

Mohd Hanafi didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Rashidah menetapkan 18 April ini bagi sebutan semula kes untuk penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen pula, Mohd Hanafi dijatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap empat pertuduhan iaitu memiliki dua laras senapang dan memiliki 64 peluru tanpa kebenaran.

Hakim Zahillah Mohammad Yusoff membuat keputusan berkenaan selepas Hanafi mengaku bersalah atas kesemua empat pertuduhan berkenaan.

TERTUDUH (depan) tiba di perkarangan Mahkamah Kota Tinggi. FOTO Zain Ahmed
TERTUDUH (depan) tiba di perkarangan Mahkamah Kota Tinggi. FOTO Zain Ahmed

Dalam pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki selaras senapang tiada jenama dan model dan 14 butir peluru pelbagai jenis, tanpa lesen yang sah.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Mohd Hanafi didakwa memiliki selaras senapang jenis Canon Super Model 737 Cal. 177 dan 50 butir peluru pelbagai jenis, tanpa lesen yang sah.

Kedua-dua senapang dan 64 butir peluru itu ditemui di dua lokasi berbeza di Kota Tinggi di antara jam 1.30 pagi hingga jam 9 malam, 1 Mac lalu.

Mohd Hanafi dituduh melakukan perbuatan itu di dua rumah iaitu di Ladang Pasir Panjang dan Taman Sri Saujana, Kota Tinggi pada jam 11.30 pagi hingga jam 9 malam, 1 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (206) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan pada kedua-dua prosiding itu dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Hanafi dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana beliau perlu menanggung empat anak selain perlu membayar pinjaman bank.

Zahillah kemudian memutuskan dia dijatuhi hukuman penjara masing-masing lima, empat, enam dan lima tahun bagi keempat-empat pertuduhan itu, yang berjalan serentak daripada tarikh tangkapan iaitu 1 Mac lalu, selepas berpuas hati dengan hujahan pendakwaan.