Pemandu sebabkan kematian cedera dipukul pengguna jalan raya

Sungai Petani: Pemandu cedera dipukul pengguna jalan raya selepas dikatakan membuat pusingan U di Kilometer 13 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, di sini, malam tadi, sehingga menyebabkan kemalangan dengan lima kenderaan dan mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, penunggang motosikal berusia 18 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan dada.

Dua lagi penunggang motosikal dan seorang pemandu Perodua Viva cedera ringan manakala seorang lagi penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan.

Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Saga berusia 57 tahun cedera di kepala dan dirawat di sebuah hospital swasta kerana dipukul dengan topi keledar oleh pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian membabitkan kenderaan dari arah Sungai Petani ke Kuala Ketil.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Saga membuat pusingan U untuk kembali ke arah Sungai Petani di tempat kejadian.

“Ketika hendak membuat pusingan U, sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 22 tahun cuba mengelak ke kiri lalu melanggar bahagian belakang Proton Saga berkenaan.

“Selepas itu motosikal ditunggangi mangsa yang maut dan sebuah lagi motosikal ditunggangi remaja berusia 18 tahun tidak sempat mengelak lalu keduanya melanggar bahagian kanan Proton Saga berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, seterusnya Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 60 tahun juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan Proton Saga itu dan turut melanggar mangsa yang meninggal dunia itu.

Beliau berkata, kemudian penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 20 tahun yang juga operator kilang cuba mengelak ke kiri lalu jatuh sendiri.

“Pemandu Proton Saga dan penunggang keenam tidak cedera manakala penunggang motosikal kedua, keempat dan pemandu Perodua Viva cedera ringan.

“Penunggang motosikal ketiga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius,” katanya.

Adzli berkata, pemandu Proton Saga terpaksa dibawa ke Balai Polis Padang Serai kerana dipukul oleh pengguna jalan yang lain.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya dihantar ke sebuah hospital swasta Sungai Petani kerana dipukul termasuk di kepala dengan menggunakan topi keledar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.