Pemilik gerai tahan lelaki bergelang kuarantin

LELAKI berusia 42 tahun yang memakai gelang putih dipercayai tag kuarantin Covid-19, dikompaun RM1,000 di Bayan Baru, hari ini kerana ingkar arahan kuarantin di rumah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki dari Bandar Baru Air Itam itu diambil tindakan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Terdahulu, pihaknya menerima aduan daripada seorang pemilik gerai di ruang pameran Pusat Konvensyen Setia Spice mengenai kehadiran lelaki berkenaan pada 5.45 petang.

“Lelaki itu kemudian beredar selepas menyedari pemilik gerai berkenaan melihat gelang yang dipakainya.

“Pemilik itu kemudian menahan lelaki terbabit sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Sementara itu Anbalagan berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Kulim, Kedah dan diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Katanya, ujian saringan awal terhadapnya mendapati negatif Covid-19, namun dia diminta hadir untuk menjalani saringan susulan pada Isnin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19