Pemimpin dunia ikrar sumbang AS$8 bilion untuk rawatan, vaksin COVID-19

Pemimpin negara dan organisasi terkemuka dari serata dunia menyatakan janji untuk menyumbang sejumlah AS$8 bilion (kira-kira RM34.5 bilion) ke arah usaha melawan COVID-19. -Gambar fail

BRUSSELS: Para pemimpin negara dan organisasi terkemuka dari serata dunia telah menyatakan janji untuk menyumbang sejumlah AS$8 bilion (kira-kira RM34.5 bilion) untuk pembangunan dan pelaksanaan diagnostik, rawatan dan vaksin terhadap jangkitan COVID-19.

Ikrar sumbangan itu diumumkan ketika persidangan maya malam tadi yang dihoskan bersama oleh Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Norway, Sepanyol dan United Kingdom (UK).

Acara itu bagaimanapun tidak disertai Amerika Syarikat (AS), lapor CNN.

“Hari ini dunia menunjukkan penyatuan luar biasa demi matlamat yang sama. Kerajaan dan organisasi kesihatan sedunia bersama berjuang menentang koronavirus.

"Dengan komitmen sebegitu, kita di landasan tepat untuk menghasilkan, mengeluarkan dan menggunakan vaksin untuk semua.

"Bagaimanapun ini hanya permulaan. Kita perlu mengekalkan usaha dan bersedia untuk menyalurkan lebih lagi sumbangan.

"Maraton ikrar sumbangan ini akan diteruskan," kata Presiden EU, Ursula von der Leyen.

Berikut negara-negara yang berikrar untuk memberi sumbangan:

Norway – $1 bilion
Switzerland – $381 juta
Belanda – $209.5 juta
Australia – $226 juta
Itali – $152.7 juta
Korea Selatan – $50 juta
Kuwait – $40 juta
Africa Selatan – $1.3 juta
Kesatuan Afrika – $61 juta  
Israel – $60 juta
Ireland – hampir $20 juta
Luxembourg – $5.45 juta
Sweden – $17 juta
Portugal – $10.9 juta
Croatia – $1.09 juta
Finland – $39.3 juta
Bulgaria – $109,000
Romania – $218,000
Serbia – $2.18 juta
Slovenia $33.6 juta
Republik Czech,  Poland, Hungary dan Slovakia – $3.27 juta

Sementara itu, Melinda Gates, pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, berikrar menyalurkan $100 juta ke arah misi tersebut.

Negara lain seperti UAE, Oman, Turki, Monaco dan China turut berjanji untuk menyumbang ke arah usaha melawan COVID-19 namun menyatakan jumlah sumbangan.