Penaja gagal kota janji

AKAUN sebahagian besar pasukan Liga Malaysia (Liga M) berada dalam situasi kronik apabila penaja masing-masing tidak mengotakan janji untuk menyalurkan dana sejak awal musim ini.

Lebih memburukkan keadaan ada antara pasukan terbabit tidak mampu membayar gaji pemain walaupun membuat pemotongan hingga 50 peratus.

Kesannya, senario tunggakan gaji serius mungkin melanda arena bola sepak negara pada musim ini.

Ketika ini rata-rata pasukan Liga M berusaha memujuk penaja masing-masing untuk menyalurkan dana seperti yang dijanjikan bagi menyelesaikan bayaran gaji pemain dan pegawai pasukan.

Antara pasukan yang berada dalam situasi kritikal adalah Melaka dan Kelantan apabila masing-masing mendakwa tidak mendapat sebarang bayaran daripada pihak penaja sejak saingan liga bermula.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), Mohd Ashiq Abd Samad berkata, kantung pasukan terbabit sudah kering apabila tidak menerima sebarang wang tajaan walaupun dijanjikan pada awal tahun ini.

Beliau berkata, Musa sepatutnya menerima dana tajaan 50 peratus daripada RM15 juta pada awal musim bagi menyelesaikan beberapa bayaran tunggakan selain mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan liga.

“Jika mahu memberi alasan peralihan kuasa menyebabkan penajaan tidak dapat dilaksanakan adalah tidak adil kerana perjanjian termeterai pada penghujung tahun lalu.

“Ketika ini bukan lagi situasi membimbangkan namun sudah kritikal melanda Melaka kerana tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pemain dan pegawai pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Husin Deraman berkata, penaja sudah memberi bayangan tidak mampu menyalurkan dana seperti dijanjikan akibat pandemik Covid-19.

Husin berkata, Kafa masih lagi menagih bayaran penajaan daripada syarikat berkenaan berikutan tiada sumber pendapatan lain berikutan penangguhan saingan liga sejak sebulan lalu.

“Kami tidak menerima bayaran daripada penaja seperti dijanjikan dan mungkin menghadapi masalah membayar gaji pemain nanti.

“Sumber pendapatan sampingan seperti penjualan tiket pun tiada dan tidak tahu sejauh mana Kafa boleh bertahan dengan situasi terbabit jika penaja enggan menyalurkan dana,” katanya.

Arena Metro turut menghubungi beberapa pengurusan pasukan di utara tanah air dan berpangkalan di Lembah Kelang dengan rata-rata memberitahu menghadapi masalah sama apabila penaja tidak membuat sebarang bayaran berikutan kekurangan sumber pendapatan akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19