Penangan suara Audrey sampai Tom Morello pun minat

USIANYA baru tiga tahun enam bulan namun telatah comel Uqasha Audrey Junaidi ketika menyanyikan lagu genre punk rock metal, Killing In The Name nyanyian asal kumpulan Rage Against the Machine (RATM) menarik perhatian lebih 2.2 juta pelayar Facebook sejak dimuatnaik pada 26 April lalu.

Video berdurasi 2.12 minit itu turut dilihat 291,776 kali di Youtube.

Gitaris RATM sendiri, Tom Morello memuatnaik video berkenaan di laman sosial Instagram peribadi dan mendapat lebih 500,000 tontonan pengikutnya.

Bapa Uqasha Audrey, Junaidi Japri atau mesra disapa Ujang Ijon, 44, berkata dia sendiri tidak menyangka video nyanyian anak bongsu itu mendapat perhatian ramai hingga ke luar negara.

Ujang berkata, Audrey memang gemar menyanyi dan Killing In The Name antara lagu sering didengarnya ketika berada di dalam kereta.

“Ini kali pertama saya memuatnaik video nyanyi Audrey di laman sosial dengan tujuan suka-suka untuk mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sendiri terkejut video ini tular. Selepas 24 jam dimuatnaik, saya mula mendapat banyak mesej positif penonton luar negara termasuklah Thailand, Filipina, Chile dan Brazil.

“Media tempatan dan blogger antarabangsa juga menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video nyanyian Audrey ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ujang yang juga pemuzik sambilan berkata, dia mempunyai dua lagi anak lelaki berumur 13 serta 17 tahun dan semuanya boleh menyanyi namun meminati genre lagu berbeza.

Menurutnya, Audrey gemarkan genre punk rock metal, anak sulungnya lebih kepada lagu berentak balada atau sentimantel dan anak kedua menyukai lagu berentak hip hop.

Sementara itu, ditanya sama ada bakal menghasilkan lebih banyak video nyanyian Audrey, bapa kepada tiga cahaya mata berkenaan menyatakan perancangan seumpama itu memang ada tetapi ia bergantung kepada tahap emosi anaknya itu.

“Sebenarnya sudah ada beberapa video nyanyian Audrey tetapi saya masih belum memuatnaiknya di laman sosial.

“Lagu yang dinyanyikan lebih kepada lagu kanak-kanak seperti ABC, 5 little monkey dan Incy Wincy Spider,” katanya.