Pencemaran air: 4 lelaki direman 6 hari

Gombak: Empat lelaki yang juga pemilik kilang direman selama enam hari selepas disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Peguam yang mewakili mereka itu, K Theivandran berkata, semua anak guamnya dibenarkan reman bermula hari ini.

“Anak guam saya akan memberi kerjasama yang baik dalam membantu siasatan yang dijalankan polis,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kesemua lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, polis menahan empat lelaki pemilik kilang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan berkata, tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di IPD Gombak.

Sebelum itu, Harian Metro melaporkan, kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sudah ditutup dan disita.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pelbagai pihak kini berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.

Kilang berkenaan diarah ditutup sementara menunggu keputusan siasatan, selain pemantauan rapi dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama agensi berkaitan.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.