Penduduk Korea Selatan dikuarantin dipantau secara maya – Rakyat Malaysia

Menurut Muhamad Khalid, penduduk Korea Selatan mempunyai tahap disiplin yang sangat tinggi dan faktor itu membendung penularan COVID-19 di negara itu. – Instagram

SEOUL : Korea Selatan pada awalnya menyaksikan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak, namun demikian dalam beberapa minggu sahaja bilangan kes baharu di negara itu menampakkan penurunan yang sangat ketara.

Malah di tengah-tengah pandemik itu, Korea Selatan dilihat sebagai harapan dan model kepada dunia.

Menariknya, Korea Selatan berjaya memperlahankan penularan wabak itu tanpa melaksanakan sebarang kawalan pergerakan atau perintah berkurung.

Berkongsi perkembangan semasa dari Seoul, Korea Selatan, rakyat Malaysia, Muhamad Khalid Ismail memberitahu, apa yang dilakukan oleh negara itu bukanlah satu rahsia.   

Ini kerana katanya, penduduk Korea Selatan mempunyai tahap disiplin yang sangat tinggi termasuk mempraktikkan penjarakan sosial di  kawasan-kawasan tumpuan ramai sebelum angka penularan kes COVID-19 meningkat di negara itu lagi.

"Selain itu, sistem kuarantin di sini juga dikawal melalui satu sistem komputer berpusat di mana kedudukan kami dipantau 24 jam sehari.

"Ini bermakna setiap individu yang disuruh berkuarantin perlu memuat naik aplikasi khas GPS bagi membolehkan pasukan keselamatan memantau pergerakan kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Muhamad Khalid yang bekerja dengan agensi pelancongan ketika ini sedang dikaurantin untuk 14 hari di rumah kerana pulang dari Malaysia, baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan, pergerakan mereka bukan sahaja dipantau secara maya menerusi aplikasi itu sebaliknya akan ada badan khas yang akan menelefon secara mengejut bagi memastikan mereka benar-benar berada di rumah.

Sekiranya gagal menjawab panggilan tersebut katanya, mereka boleh dikenakan denda kerana disyaki ingkar arahan.

Selain itu, beliau juga memberitahu, kerajaan Korea Selatan sangat telus dalam melaporkan perkembangan jangkitan termasuk menyalurkan maklumat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada setiap hari.

"Setiap kali seseorang itu disahkan positif, penduduk akan disediakan dengan butiran perjalanan, aktiviti dan peta perjalanan individu yang dijangkiti untuk dua minggu sebelumnya melalui sistem notifikasi ke telefon pintar masing-masing," jelasnya.