Penduduk Orang Asli terima pampasan RM38 juta, ambil alih 57 kondominium

SELEPAS 11 tahun menanti akhirnya sekumpulan Orang Asli dari tiga kampung di Johor, hari ini mendapat kembali wang pampasan tanah mereka yang hilang, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tujuh individu dan syarikat untuk kebenaran mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 5 Jun 2000, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan kerajaan negeri Johor membayar RM38,554,111.92 sebagai pampasan kepada Orang Asli berkenaan untuk tanah mereka yang terbabit bagi pembinaan Empangan Linggiu untuk membekalkan air ke Singapura.

Dalam keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim menolak permohonan tujuh pemohon untuk memperoleh kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.

Tujuh pemohon itu adalah Virgin Properties Sdn Bhd, Pengarah Virgin Properties Ku Azhar Ku Abdul Razak, Dinesh Kanavaji, Tetuan Khana & Co, Riza Makhzan Arifin dan Puteri Intan Nurul Arzian Abdul Aziz dan Malayan Banking Berhad.

Penduduk Orang Asli suku kaum Jakun dari tiga kampung di Kota Tinggi, Johor, menerima pampasan berkenaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2000 kerana pengambilalihan tanah mereka oleh kerajaan negeri Johor.

Peguam G Ragumaren yang mewakili Orang Asli berkenaan dan juga sebagai peguam bersama bagi tabung amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakuns) Trust berkata keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini adalah kemenangan manis bagi Orang Asli itu setelah berjuang selama 11 tahun untuk mendapatkan semula wang mereka.

Peguam Datuk Lim Chee Wee dan K Ragunath adalah peguam utama bagi tabung amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakuns) Trust.

Hakim Tengku Maimun dalam keputusannya berkata tiada satu pun persoalan undang-undang yang ditimbulkan pemohon memenuhi syarat-syarat mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 agar kebenaran diberikan.

Beliau berkata persoalan yang diajukan adalah berdasarkan fakta kes, dan menambah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi adalah kukuh yang turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Panel hakim itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan mahkamah turut memberi reward RM350,000 sebagai kos kepada Linggui Valley Orang Asli (Jakuns) Trust.

Daripada jumlah pampasan tanah itu, RM22 juta diletakkan di bawah tabung amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakuns) Trust dan selebihnya RM16,554,111.92 diserahkan kepada syarikat guaman Tetuan Khana & Co untuk dibayar kepada Orang Asli selepas ditolak kos termasuk guaman, yuran perundingan dan perbelanjaan untuk saman itu.

Pada 2009, tabung amanah bagi Orang Asli itu memfailkan saman berhubung penggunaan RM7 juta daripada tabung amanah itu oleh bapa Dinesh, S Kanawagi untuk pembelian 27 unit kondominium di Lanai Gurney Heights Condominium di Kuala Lumpur pada 2008.

Wang hasil sewa 27 unit kondominium itu kemudian digunakan untuk membeli 30 pangsapuri di kondominium yang sama di bawah nama Dinesh.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tabung amanah Linggiu Valley Orang Asli Trust harus diberi pampasan kira-kira RM10 juta dan mengambil alih pemilikan 57 kondominium berkenaan.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pemohon dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ragumaren memberitahu wartawan, langkah seterusnya ialah mereka akan mendapatkan jumlah penghakiman RM32 juta dan juga memindahkan pemilikan pangsapuri itu kepada tabung amanah berkenaan.

Peguam Datuk Wong Rhen Yen mewakili Dinesh manakala peguam V S Viswanathan bagi pihak Virgin Properties. Peguam T A Sivam mewakili Tetuan Khana & Co, peguam Lim Kian Leong mewakili Riza Mahzan dan peguam Dinesh Ahinayaranan mewakili Ku Azhar.