Penduduk sudah boleh tidur lena, tiada lagi ‘hantu’ ketuk pintu

Sabak Bernam: Selepas 18 hari menghantui penduduk di daerah ini, misteri gangguan ketukan pintu rumah pada waktu malam berakhir apabila tiada lagi kes terbaharu dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi mengesahkan perkara itu susulan tiada lagi laporan diterima pihaknya daripada penduduk.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tetap melakukan kawalan rondaan di kampung dan taman perumahan meskipun gangguan misteri itu sudah berakhir.

“Kami juga menggalakkan penduduk supaya membuat rondaan di kawasan masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Agus Salim mengingatkan masyarakat supaya tidak memperbesarkan lagi isu gangguan ketukan pintu misteri itu.

“Orang ramai diminta tidak menokok tambah perkara sedia ada selain menyebarkan maklumat tidak sahih hingga menimbulkan ketidaktenteraman kepada penduduk,” katanya.

Portal Harian Metro melaporkan penduduk daerah Sabak Bernam dilanda tanda-tanya dan ketakutan susulan gangguan ketukan pintu misteri yang berlaku sejak 18 November lalu.

Kejadian itu dikaitkan dengan kehadiran entiti dan gangguan makhluk halus termasuk ada yang mendakwa diganggu hantu pucong.

Berita berkaitan

• Orang tengah masak pun kau kacau…

• Rumah di Kampung Parit Baru dan Taman Padu Permai pula diketuk ‘hantu’

• ‘Mengganas’ 30 saat

• Misteri ketuk pintu melarat ke Tanjong Karang, Kuala Selangor

• Ketukan pintu misteri …angkara hantu atau manusia?

• Siapa ketuk pintu?