Penduduk Sungai Lui lega PKPD tamat

PENDUDUK sekitar Kampung Sungai Lui, Hulu Langat bersyukur apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat malam tadi.

Ia memberi ruang kepada mereka untuk keluar mendapatkan bekalan keperluan asas selepas diarahkan berada di rumah sejak 30 Mac lalu.

Seorang penduduk, Sunardi Jamil berkata, pengumuman penamatan perintah itu begitu melegakan kerana mereka dapat melakukan banyak perkara lain termasuk yan bekerja sendiri.

“Alhamdulillah, lega rasanya. Sekurang-kurangnya kami dapat bergerak. Cuma kami masih dalam PKP, tetapi bolehlah keluar uhtk mendapatkan keperluan asas.

“Ketika PKPD, kami hanya menunggu bantuan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi kerajaan lain, jadi dengan penamatan ini, kami bolehlah beli keperluan sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, aktivis masyarakat di situ, Nazri Daud berkata, sekatan laluan yang ditutup sejak PKPD tempohari sudah dibuka jam 2.30 petang tadi.

Katanya, walaupun perntah berkenaan sudah tamat, namun penduduk masih lagi mengambil langkah selamat dengan tinggal di dalam rumah masing-masing.

Menurutnya, tidak ramai yang keluar dari kediaman mereka, sebaliknyaberada di rumah seperti sebelum ini.

“Apapun, kami lega kerana PKPD tamat. Kedudukan sekolah tahfiz dan Kampung Paya Lebar yang masih dalam perintah juga agak jauh daripada penempatan penduduk.

“Kami harap, kawasan itu juga akan bebas daripada sebarang jangkitan dan penduduk di situ dapat meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.