Pengalaman sekeluarga dalam satu bilik

PENGALAMAN menjalani kehidupan berkeluarga di dalam wad selama dua minggu kerana dikuarantin saat yang tidak dapat dilupakan keluarga ini.

Pada awalnya, mereka dipisahkan kerana si isteri dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, manakala suami dan dua anak dikuarantin di Hospital Teluk Intan (HTI).

Namun, mereka ditakdirkan bertemu semula selepas berpisah selama empat hari dan melalui pengalaman berkeluarga di dalam wad, sesuatu yang tidak pernah terfikir akan berlaku di dalam hidup.

Bagi Ketua Jururawat Jabatan Kecemasan HTI Fadzilah Saad, 48, berkata, dia bersama suami dan dua anak menjalani saringan pada 23 dan 24 Mac lalu selepas beberapa orang petugas mempunyai gejala.

Katanya, selepas didapati positif, dia dibawa untuk menjalani kuarantin di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala suami dan anak-anak menjalani kuarantin di Hospital Teluk Intan (HTI).

“Saya hanya terfikir bagaimana dengan mereka di Teluk Intan dan saya pula seorang diri di Ipoh. Cuma, saya ada ramai kawan yang turut dikuarantin sama, jadi tak bimbang sangat.

“Pada masa sama, ada dua lagi anak yang berada di rumah, tetapi mereka negatif. Saya terbayangkan bagaimana mereka hendak menjalani hidup sendiri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada Harian Metro.

Fadzilah berkata, dia sentiasa berdoa semoga dapat bersama-sama dengan keluarganya kerana ada perasaan bimbang jika tidak dapat melihat mereka di depan mata.

Katanya, selepas empat hari, dia dipindahkan ke HTI untuk bersama suami dan anak-anak dan mereka ditempatkan di dalam satu bilik yang sama selama dua minggu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19