Pengasuh tak tahan kelakuan hiperaktif, punca budak didera sampai mati [METROTV]

Kuala Lumpur: Tidak tahan dengan kelakuan kanak-kanak berusia lima tahun yang hiperaktif mendorong seorang pengasuh mendera mangsa sehingga mati.

Hasil siasatan itu didedahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin melalui soal siasat suspek berusia 61 tahun itu.

“Siasatan mendapati, suspek sudah mengasuh kanak-kanak perempuan ini sejak September tahun lalu.

“Bapa mangsa yang bekerja di Vietnam tidak dapat pulang ke Malaysia berikutan pandemik Covid-19 manakala ibunya warga tempatan hilang dan melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa dijaga oleh pengasuh itu yang tinggal bersama dua anak lelakinya berusia 22 dan 34 tahun.

“Suspek tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan mangsa, hanya kenalan bapa yang meminta menjaga kanak-kanak berkenaan,” katanya.

SAIFUL Azly ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SAIFUL Azly ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Saiful Azly berkata, pihaknya menerima maklumat awam daripada seorang penduduk memberitahu terdapat seorang kanak-kanak perempuan ditemui tidak sedarkan diri di sebuah rumah pada 2 Januari lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa selain terdapat kesan kecederaan di tubuhnya.

“Suspek dan dua anak lelakinya ditahan pada hari sama dan direman selama lapan hari.

“Kertas siasatan kes ini dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan terhadap pengasuh ini dijalankan pada Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala dua anak lelakinya akan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Saiful Azly mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang membantu polis dengan menyalurkan maklumat kejadian.

“Walaupun ada perumpamaan jangan jaga tepi kain orang namun ada perkara yang kita perlu sentiasa peka terutama jenayah membabitkan kes dera ini,” katanya.