Pengawal peribadi bunuh majikan dihukum gantung

Georgetown: Seorang pengawal peribadi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh majikannya dan dua lagi individu dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Ja’afar Halid, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dia disabit membunuh majikannya, yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, dan dua individu lain, Choi Hoi Ming, 32, dan Senthil Murugiah, 38, dengan menembak menggunakan sepucuk senjata api di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang di lebuh raya berkenaan antara jam 7.15 malam dan 7.30 malam, 1 Dis 2016.

Bagi setiap kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi lima pertuduhan (setiap pertuduhan 15 tahun penjara) atas cubaan membunuh dengan menembak lima individu iaitu Lee Hong Boon,59, di dada kiri; Nurul Huda Ab Aziz, 42, di bahu; Puah Bee Joo, 36, di bahu; Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 32, di dada kiri dan K. Arivarni, 37, di kepala.

Hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 1 Dis 2016.

Dalam keputusannya, Abdul Wahab berkata keterangan tertuduh yang menyatakan dia tidak ingat apa yang dilakukan semasa kejadian tidak boleh diterima kerana berdasarkan keterangan semasa peringkat pendakwaan menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk melakukan perkara itu.

Selain itu, katanya, mahkamah turut menolak alasan tertuduh tidak waras kerana berpendapat keterangan dikemukakan mendapati serangan oleh tertuduh adalah bersasar.

Abdul Wahab berkata mengikut saksi pembelaan, yang merupakan seorang doktor, mengesahkan tertuduh sememangnya mengambil ubat kerana kebergantungan dan ketagihannya terhadap dadah yang diambil sejak berusia 12 tahun.

Menurutnya, dakwaan tertuduh mempunyai masalah mental turut ditolak walaupun tertuduh menerima rawatan sejak beberapa bulan sebelum kejadian tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan tertuduh diwakili peguam Y. Anbanathan.

Berita berkaitan

  • Bicara pengawal peribadi tembak 5 individu 22 Mac
  • Pengawal peribadi mengaku tidak bersalah [METROTV]
  • Pengawal peribadi hadapi 9 tuduhan [METROTV]