Pengecualian sewa premis untuk PKS [METROTV]

BAGI meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan akan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Permodalan Nasional Berhad (PNB), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan UDA Holdings Berhad (UDA) serta beberapa syarikat milik kerajaan negeri yang bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS.

“Atas prinsip perkongsian bebanan, saya menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya sepanjang tempoh PKP dan tiga bulan selepas PKP berakhir.

“Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada PKS akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa itu bagi April 2020 hingga Jun 2020.

“Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh berkenaan,” katanya pada pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau Prihatian Tambahan di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020.

“Bagaimanapun, pengurangan bayaran levi ini tidak terpakai kepada pembantu rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan