Pengusaha hotel bajet terpaksa tutup operasi

IMPAK penularan Covid-19 begitu terkesan terhadap sektor pelancongan apabila beberapa pengusaha hotel bajet terpaksa menutup rangkaiannya berikutan tidak lagi mampu menanggung kos operasi.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein berkata, dianggarkan 15 peratus daripada 2,300 ahli Mybha terpaksa mengambil keputusan menutup terus operasi dan menutup sementara hotel mereka.

Katanya, kadar penginapan terus merosot dan ada pengusaha yang memang bergantung pendapatan sepenuhnya dengan perniagaan hotel.

“Kebanyakan pengusaha hotel di kawasan pedalaman yang begitu terkesan sehingga terpaksa menutup terus perniagaan mereka.

“Sektor perhotelan dan pelancongan ini sebenarnya yang paling lama untuk pulih daripada kesan Covid-19 sebab orang ramai takut untuk melancong.

“Selagi tiada vaksin selagi itu risiko terpaksa dihadapi oleh pemain industri dan hakikatnya kebanyakan hotel ini sumber pendapatan utamanya bukan penginapan, tetapi segmen acara seperti majlis kahwin, makan malam tahunan, mesyuarat dan seminar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, bagi meneruskan kelangsungan hidup ada pengusaha terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji kepada kakitangannya.

Beliau berkata, walaupun dibenarkan beroperasi pengusaha hotel bajet masih tidak mampu menampung kos utiliti dan gaji kakitangan.

Emmy berkata, memang ada pengusaha hotel mempunyai cabang perniagaan lain, tetapi bagi mereka yang hanya menumpu kepada perniagaan hotel semata-mata, perit untuk menjana pendapatan waktu ini.

“Lebih membimbangkan ada pengusaha yang tidak dapat menerima bantuan daripada kerajaan kerana Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) sudah ditamatkan sepenuhnya berkuat kuasa 22 April lalu oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berikutan kekurangan dana.

“Harapan saya, semoga pihak kerajaan dapat meneliti lebih terperinci prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor perhotelan ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19