Pengusaha katering terdesak pinjam dengan 18 along

Kuala Lumpur: “Saya dan suami kerap bergaduh sehingga pernah terfikir mahu bunuh diri akibat tertekan kerana tidak tahan didesak dan diugut along setiap hari.”

Begitu kata wanita mahu dikenali sebagai Sha, 36, yang mengusahakan perniagaan katering bersama suami dan menjadi buruan 18 along disebabkan pinjaman dengan jumlah keseluruhan RM70,000.

Menurut Sha, segalanya bermula apabila perniagaan diusahakan mereka sejak awal 2019 terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 menyebabkan mereka mencari jalan pintas dengan meminjam daripada along.

Katanya, suaminya terpengaruh untuk membuat pinjaman berkenaan selepas menerima satu mesej daripada ejen along yang menawarkan pembiayaan itu pada Ogos tahun lalu.

“Semua wang simpanan kami habis digunakan untuk membayar gaji pekerja dan memulangkan wang tempahan yang diminta pelanggan selepas majlis seperti kenduri doa selamat dan aqiqah tidak dapat dilangsungkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Untuk memastikan kelangsungan perniagaan, suami akhirnya memutuskan untuk meminjam wang daripada along kerana lebih mudah dan cepat mendapatkan wang,” katanya.

Menurutnya, selepas berjaya membuat pinjaman dari syarikat pertama, suaminya kerap menerima mesej tawaran daripada ejen along lain.

“Setiap hari mesej bertalu-talu masuk menawarkan pakej pinjaman yang membuatkan suami terpengaruh hingga keseluruhannya membuat pinjaman lain sehingga mencecah 18 along.

“Pada mulanya, suami berjaya menguruskan pembayaran mengikut jadual ditetapkan iaitu pembayaran perlu dibuat setiap hari jika lewat caj tambahan akan dikenakan,” katanya.

Ibu kepada dua anak berusia tiga dan lima tahun itu berkata, keadaan semakin buruk apabila mereka tidak mampu lagi menjelaskan ansuran harian pinjaman sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

“Ketika PKP kedua, kami tidak mampu lagi membayar wang ansuran dikenakan along.

“Akibatnya daripada hanya RM30,000 jumlah keseluruhan pinjaman, hutang kami bertambah hingga mencecah RM70,000.

“Kehidupan kami bertukar huru-hara dan kerap bergaduh kerana setiap hari along mengganggu kami termasuk diugut bunuh jika tidak dapat menjelaskan hutang,” katanya.

Katanya, akibat buntu mereka akhirnya merujuk kepada Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia yang membantu menyelesaikan baki hutang along terbabit menerusi bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Februari lalu.

“Kini, saya lega kerana mimpi ngeri itu berakhir, malah suami juga sudah serik. Kami juga bertekad akan membayar semula wang itu,” katanya.