Peniaga daging meninggal dunia dirempuh pemandu positif dadah

Pasir Mas: Lelaki warga emas yang cedera parah selepas gerai daging miliknya di Jalan Pasir Mas-Meranti, Kampung Pohon Buloh, di sini, dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah, semalam, meninggal dunia hari ini.

Penjual daging, Ismail Yaacob, 63, mangsa kedua meninggal dunia selepas pelanggannya, Noriza Zakaria, 28, maut di lokasi kejadian semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa dibawa ke rumahnya di Kampung Mat Lazim atas permintaan keluarga selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Bagaimanapun, keadaan mangsa semakin kritikal dan disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Meranti, di sini, pada 7.27 pagi.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di rusuk kiri, paru-paru, leher dan mengalami pendarahan dalam kepala disebabkan rempuhan terbabit,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki berusia 29 tahun merempuh gerai menjual daging menyebabkan seorang wanita maut manakala peniaga cedera parah.

Suspek yang memandu Perodua Alza ditahan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mohamad Roy turut mengucapkan takziah dan bersimpati kepada kedua-dua keluarga mangsa di atas kejadian itu.

“Polis akan membuat siasatan lanjut supaya individu yang bersalah mendapat tindakan yang setimpal atas perlakuannya yang meragut nyawa orang awam.

“Saya menasihatkan setiap pemandu supaya lebih berhati-hati ketika di jalan raya dan melarang sekeras-kerasnya tindakan memandu dalam keadaan mabuk atau pengaruh dadah yang bukan saja membahayakan keselamatan diri malah orang awam,” katanya.

Berita berkaitan

• Pemandu langgar gerai positif dadah

• Luah rindu pada suami sebelum ajal