Peniaga, pekerja ditahan pasang bendera Kedah terbalik

SEORANG peniaga dan pekerjanya ditahan polis selepas dilaporkan memasang bendera Kedah secara terbalik di restorannya di pekan Kuah, Langkawi, petang ini.

Peniaga berusia 58 tahun dan pekerjanya, warga Bangladesh berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis kemudiannya ke lokasi dan mendapati bendera berkenaan dipasang secara terbalik.

“Siasatan mendapati peniaga terbabit meminta pekerjanya memasang bendera Kedah dan tanpa disedari ia dipasang secara terbalik,.

“Susulan itu kedua-dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dan akan direman esok pagi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohd Iqbal berkata, polis juga masih membuat siasatan lanjut dan meneliti kesahihan permit kerja milik warga Bangladesh terbabit.

“Kita sedang siasat dan teliti permit kerjanya kerana ketika pemeriksaan lelaki Bangladesh itu hanya menunjukkan salinan dokumen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63,” katanya.