Penipu dah pasang perangkap

[email protected].

GUNA panggilan telefon, hantar mesej pada aplikasi WhatsApp dan cipta laman sesawang palsu.

Itu antara taktik digunakan sindiket penipuan bagi mengumpan mangsa yang mahu mengeluarkan wang pada akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selepas beberapa jam pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu, sudah ada pihak menyamar sebagai ‘wakil’ KWSP menguar-uarkan mengenai ‘kaedah’ pengeluaran wang berkenaan.

Antaranya adalah melalui panggilan telefon oleh individu memperkenalkan diri sebagai wakil KWSP yang kononnya mahu membantu mangsa memohon pengeluaran wang terbabit.

Selain itu, ada juga individu memperkenalkan diri sebagai ejen dengan menawarkan perkhidmatan membantu mempercepatkan proses permohonan pengeluaran wang berkenaan melalui mesej di aplikasi WhatsApp.

Malah, ada sindiket yang mewujudkan laman sesawang palsu KWSP dengan meletakkan ‘maklumat’ seperti syarat permohonan, cara memohon dan semakan dalam talian bagi meyakinkan mangsa bahawa ia adalah benar.

Justeru, KWSP dalam kenyataan, baru-baru ini, memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan pengeluaran bagi ahli atau mengenakan caj untuk semua transaksi pengeluaran.

“Borang permohonan yang lengkap diisi boleh dihantar kepada KWSP mulai 1 April ini melalui beberapa kaedah iaitu secara dalam talian menerusi e-Pengeluaran dalam i-Akaun (ahli), e-mel pada alamat [email protected] atau hantaran pos di alamat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Karung Berkunci No 220, Jalan Sultan 46720, Petaling Jaya dengan catatan (UP:i-Lestari) pada bahagian hadapan sampul surat.

“Ahli disarankan untuk menghantar permohonan secara dalam talian (e-Pengeluaran) untuk mempercepatkan proses kelulusan kerana permohonan secara manual yang dihantar melalui kaedah e-mel dan pos akan mengambil masa lebih lama untuk diproses.

“Bagi permohonan pengeluaran oleh ahli bukan warganegara Malaysia pula hanya boleh dihantar melalui kaedah e-mel dan pos sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penipuan terbabit setakat ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan telebih dahulu dengan pihak KWSP sekiranya ada laman sesawang yang menjurus kepada pihak berkenaan,” katanya.