Penjenayah takut bini

Port Dickson: “Penjenayah itu berjanji memulangkan barang yang dicuri dan sempat berpesan agar tidak memberitahu isterinya mengenai perbuatan itu. Berkali-kali dia pesan tetapi tidak pula pesan jangan beritahu polis,” kata mangsa pecah rumah, Munirah Zolkapeli.

Munirah, 35, berkata, di rumah di Kampung Tampin Kanan, Linggi, di sini, dipecah masuk kira-kira jam 5 petang semalam ketika dia dan keluarga tinggal di Taman Sri Serdang, Seri Kembangan, Selangor.

“Sebaik mendapat panggilan daripada saudara, saya terus ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran merentas negeri dengan alasan rumah kami di kampung dipecah masuk dan beberapa barangan dicuri.

“Sebaik sampai kami dapati pintu dapur dipecah dan beberapa barang hilang seperti televisyen 40 inci, penyedut habuk, dua kipas berdiri serta barangan dapur,” katanya yang berniaga makanan di Serdang.

Munirah berkata, hasil maklumat dari saudaranya, penjenayah itu menaiki pacuan empat roda jenis Hilux berwarna kuning keemasan dan mengaku sebagai kontraktor penghawa dingin.

“Dengan bantuan saudara, kami berjaya mengesan identiti penjenayah itu melalui nombor pendaftaran kenderaan serta Facebook (FB). Bapa saya, Zolkapeli Zainal, 64, pula membuat laporan di Balai Polis Linggi.

“Kami kemudian dapat menghubungi penjenayah itu dan dia mengaku mengambil beberapa barangan di rumah,” katanya.

Menurutnya, penjenayah itu boleh dikatakan keluarga berada melalui beberapa gambarnya di FB.

Sementara itu, Zolkapeli berkata, polis memaklumkan sudah menangkap penjenayah itu dipercayai ketika dalam perjalanan menghantar barangan dicuri ke rumahnya.

“Saya dapat tahu penjenayah itu turut membawa dua anak berusia dua dan tiga tahun dan saya perlu ke Balai Polis Linggi selepas diminta pegawai polis.

“Harapan saya agar kes ini dapat diselesaikan hari ini kerana perlu balik ke Sri Kembangan,” katanya ketika ditemui tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang berusia 32 tahun itu sedang disoal siasat di Balai Polis Linggi.

“Hasil maklumat diterima, anggota polis menahan suspek di Jalan Linggi-Tampin jam 1 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman.