Penoreh getah disangka kera maut terkena tembakan

PENOREH getah maut selepas terkena tembakan daripada rakannya yang disangka seekor kera di kawasan kebun getah dan buah-buahan di Mempateh Lanchang, Temerloh kelmarin.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun sedang berada di atas pokok jering.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, berdasarkan maklumat awal suspek yang berumur 65 tahun yang berada di kebunnya ternampak sekumpulan kera di atas pokok durian di tepi rumah kebunnya.

“Suspek mengambil senapang patah yang berada di dalam rumah dan kemudian menembak ke arah kera yang kemudian melarikan diri ke atas pokok bidara.

“Selepas melepaskan satu das tembakan ke arah kera itu, suspek terdengar jeritan dan berlari ke atas bukit yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian sebelum mendapati mangsa adalah kenalannya,” katanya hari ini

“Terkejut dengan kejadian itu, suspek sempat menyambut mangsa yang jatuh dari pokok jering.

“Suspek memapah mangsa untuk dibawa ke klinik berdekatan namun mangsa didapati sudah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Yusri berkata, suspek yang juga seorang pesara, kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Lanchang.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.