Pentagon siar rakaman video menyerupai UFO yang ditemui Tentera Laut AS

Menurut laporan CNN, tiga video tersebut, yang tersebar sejak bertahun-tahun lalu dan baru kini dideklarasikan, memaparkan objek berbentuk bujur bergerak dengan pantas. – Gambar CNN

WASHINGTON: Pentagon pada Isnin menyiarkan satu rakaman video yang memaparkan 'fenomena udara tidak dikenali' yang dirakam oleh juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat semasa penerbangan latihan pada tahun 2004 dan 2015.

Menurut laporan CNN, tiga video tersebut, yang tersebar sejak bertahun-tahun lalu dan baru kini dideklarasikan itu, memaparkan objek berbentuk bujur bergerak dengan pantas.

Objek aneh yang dirakam oleh kamera inframerah itu sewaktu ditemui di pesisir South California sementara dua lagi penemuan objek itu dirakam oleh juruterbang F-18 yang beroperasi di luar Pantai Atlantik pada Januari 2015.

Dalam dua video tersebut, juruterbang berasa kagum selepas melihat objek tersebut bergerak dengan pantas sehingga memberikan spekulasi bahawa objek itu mungkin dron, kata laporan CNN.

Video-video tersebut pertama kali disiarkan selepas dibocorkan pada tahun 2007 dan 2017, kemudian Tentera Laut AS telah mengesahkan kesahihannya pada September tahun lalu.

Ini kerana, Tentera Laut AS mempunyai garis panduan rasmi untuk melaporkan penampakan objek terbang tidak dikenali atau UFO.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, jurucakap Pentagon, Sue Gough menyatakan, pihaknya secara rasmi menyiarkan video tersebut bagi menjelaskan segala spekulasi orang ramai tentang objek yang dirakam itu sama ada benar atau tidak sekali gus mengesahkan tidak ada video lain selain daripada video tersebut.

"Setelah melakukan tinjauan secara menyeluruh, kami memutuskan bahawa pendedahan video yang tidak diklasifikasikan ini tidak mendatangkan apa-apa sensitiviti dan tidak mempengaruhi penyelidikan selanjutnya mengenai serangan ruang udara tentera oleh fenomena udara yang tidak dikenali,” jelasnya.

Kenyataan itu menambah bahawa fenomena udara yang diperhatikan dalam video tetap disifatkan sebagai 'tidak dikenali'.

Menurut pesara juruterbang Angkatan Laut AS, David Fravour, yang juga salah seorang juruterbang yang terlibat dalam pertemuan tahun 2004, memberitahu CNN pada tahun 2017 bahawa objek itu bergerak tidak menentu.

Dia menggambarkan objek itu putih dan bujur, dan kemudian ia bergerak menuju ke arah utara.

"Ketika saya mendekatinya.. ia cepat-cepat bergegas ke arah selatan, dan menghilang dalam waktu kurang dari dua saat.

"Ini sangat tiba-tiba, seperti bola ping pong, memantul dari dinding,” jelas David.