Penuh dengan ilmu

Kuala Lumpur: Jangan pandang rendah atau membuat kecaman terhadap kepulangan awal bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid yang dipinjamkan ke kelab profesional Portugal, Portimonense SC.

Safawi ternyata memperoleh ilmu dan pengalaman berharga terutama ketika menjalani latihan bersama pemain bertaraf bintang.

Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, kepulangan Safawi seharusnya dilihat daripada sudut positif dan bukannya mengecam pemain berkenaan.

Beliau berkata, walaupun tiga bulan Safawi bersama Portimonense, dia mempunyai lebih banyak nilai positif daripada negatif terutama daripada sudut pembangunan prestasi pemain sayap berusia 23 tahun itu.

Katanya, Safawi pasti tampil lebih yakin dalam corak permainannya selepas menimba pengalaman berharga berlatih bersama pasukan yang bersaing pada liga antara terbaik di Eropah itu.

“Walaupun tiga bulan, dia dapat pengalaman berlatih dan bermain bersama pemain terbaik kelab itu.

“Pengalaman itu boleh menjadi panduan kepada beliau untuk bermain lebih baik selain ia dapat dikongsikan bersama rakan seperjuangan di kelab mahupun pasukan negara.

“Sedikit sebanyak tahap keyakinannya juga pasti meningkat. Kita (barisan jurulatih) memang tunggu dan nak lihat apa dipelajarinya di sana yang mungkin boleh beri impak kepada skuad kebangsaan, jadi sebagai jurulatih saya lebih pandang yang positif,” katanya.

Sebelum itu, karier tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid bersama Portimonense FC mungkin tidak panjang apabila sudah ada tanda dia akan meninggalkan kelab berkenaan dalam masa terdekat ini.

Bayangan itu dapat dilihat menerusi Instastory @Portimonense1 yang memuat naik video dan gambar Safawi bersama kumpulan rakan sepasukannya di kelab Portugal itu.

Selain gambar, Instastory itu juga menulis: “Safawi…kita adalah satu keluarga…kami mendoakan yang terbaik untuk anda…Terima kasih Johor yang istimewa.”

Terdahulu, pemilik kelab JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan Safawi akan kembali bersama kelab berpengkalan di selatan tanah air itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mengikut rekod, hasrat peminat bola sepak negara untuk melihat Safawi membuat penampilan pertama di Liga Primeira, Portugal tidak kesampaian meskipun pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu empat kali berada dalam senarai pemain simpanan.