Penuntut IPT mula pulang Isnin ini [METROTV]

KERAJAAN bersetuju membenarkan penghantaran pulang 53,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penghantaran pulang itu akan berjalan secara berperingkat dan membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pada peringkat awal penghantaran pulang yang ditanggung sepenuhnya kerajaan ini hanya membabitkan daripada kampus atau rumah sewa ke zon hijau saja.

“Mesyuarat khas menteri-menteri pagi tadi bersetuju membenarkan penghantaran pulang pelajar IPT yang terkandas di kampus dan rumah sewa masing-masingbermula 27 April ini.

“Namun, waktu perjalanan dihadkan antara 9 malam hingga 9 pagi saja bagi mengelak kesesakan pada waktu siang.

“Kita arahkan pelajar yang ingin pulang menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan mereka dibekalkan makanan dan penutup mulut dan hidung,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Beliau berkata, penjarakan sosial dalam bas juga dititikberatkan dan dihadkan.

“Kita akan pastikan penjarakkan sosial dalam bas. Jika bas muat 40 penumpang hanya 20 penumpang saja dibenarkan naik bas.

“Pelajar itu akan diambil dari kampus dan dibawa terus ke balai polis dan pejabat daerah sebelum dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Bagi yang menaiki kenderaan sendiri tidak dibenarkan merentas negeri dan hanya memandu seorang dalam kenderaan,” katanya.

Bagi penghantaran pulang penuntut Sabah san Sarawak ia dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Pelajar yang pulang ke Sabah Sarawak penerbangan akan disediakan dan pendaratan akan dilakukan berhampiran kawasan tempat tinggal mereka.

“Mereka juga akan dikuarantin 14 hari seperti mana kerajaan negeri putuskan mana-mana penumpang datang dari luar termasuk Semenanjung akan dikuarantin,” katanya.


Beliau berkata, pergerakan pulang itu membabitkan 53,000 iaitu 85 peratus daripada jumlah keseluruhan penuntut IPT termasuk kolej komuniti dan politeknik manakala 15 peratus lagi memilih menetap di kampus dan kolej masing-masing.

“Mereka yang kekal di kampus kita akan tanggung makan minum macam biasa.

“Bagi institusi lain di bawah kementerian lain contohnya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga dibenarkan pulang tetapi perlu mematuhi SOP dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan