Penyerang JDT terbabit kemalangan, tiga termasuk bayi maut

Nibong Tebal: Penyerang pasukan bola sepak JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, terbabit kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, di sini, hari ini.

Ia menyebabkan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, dipercayai ibu mentuanya, dan Titik Sukamti, 30-an yang juga pembantu rumahnya, meninggal dunia.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25; isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25; bersama anak perempuan sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya, 2, hanya cedera ringan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.36 pagi.

“Ketika tiba, didapati kenderaan MPV itu berada dalam keadaan remuk teruk dan terdapat tiga daripada enam mangsa yang tersepit.

“Anggota kemudian membuat kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya sebelum bomba menamatkan operasi jam 6.12 pagi.