Perancis sangkal dakwaan AS COVID-19 berasal dari makmal Wuhan

Perancis mendakwa belum ada bukti mengaitkan koronavirus punca COVID-19 dengan makmal penyelidikan P4 di kota Wuhan di China di mana wabak ini bermula. -Gambar fail

PARIS: Perancis mendakwa belum ada bukti mengaitkan koronavirus punca COVID-19 dengan makmal penyelidikan P4 di kota Wuhan di China di mana wabak ini bermula.

Pegawai di pejabat Presiden Emmanuel Macron menjelaskan sehingga kini tiada bukti yang menyokong maklumat di akhbar Amerika Syarikat (AS) mendakwa COVID-19 berasal dari makmal tersebut.

Konsensus saintifik turut menyatakan bahawa SARS-CoV-2, iaitu nama rasmi koronavirus baharu ini berasal dari kelawar.

Pada tahun 2004, Perancis menandatangani perjanjian dengan China untuk menubuhkan makmal penyelidikan mengenai penyakit berjangkit biosafety tahap 4, iaitu tahap tertinggi, di Wuhan yang ditandatangani oleh menteri luar negara ketika itu, Michel Barnier.

Presiden AS, Donald Trump pada Rabu mengatakan bahawa pemerintahnya sedang berusaha untuk menentukan apakah koronavirus itu berasal dari makmal di Wuhan.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo turut mengatakan bahawa Beijing perlu telus dalam apa yang diketahui mereka.

Sementara itu, Ketua Staf Gabungan AS, Jeneral Mark Milley mengatakan bahawa perisikan AS menunjukkan bahawa koronavirus kemungkinan besar berlaku secara semula jadi, berbanding dibuat di makmal di China.

Bagaimanapun masih tidak ada kepastian mengenai dakwaan tersebut.

The Washington Post melaporkan pegawai keselamatan kebangsaan dalam pentadbiran Trump telah lama mengandaikan penyelidikan di Wuhan sebagai punca koronavirus berkenaan.

Sejak Februari, Institut Virologi Wuhan yang disokong China menolak dakwaan virus itu dihasilkan di salah satu makmalnya atau mungkin dibawa keluar dari fasiliti berkenaan.