Perbuatan tak berakal demi raih perhatian di TikTok

Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung tindakan remaja melempar kucing seperti yang tular di laman sosial semalam.

Menerusi video berkenaan, remaja lelaki berkenaan mengusap seekor kucing sebelum melemparnya ke belakang.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, kejadian itu tular di laman sosial dipercayai selepas video itu dimuat naik di aplikasi TikTok.

Menurutnya, berdasarkan aduan diterima, kejadian itu dipercayai berlaku di Sarawak tetapi belum dapat dipastikan lokasi sebenarnya.

“Persatuan menerima maklumat mengenai kejadian itu semalam dan turut mendapat butiran seperti nombor telefon serta akaun laman sosial remaja lelaki terbabit.

“Bagi mendapat kepastian, saya cuba menghubungi nombor itu tetapi gagal manakala akaun Instagram (IG) remaja berkenaan juga sudah dinyahaktif dipercayai selepas diserang oleh warganet.

“Justeru, orang ramai, rakan, kenalan atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada persatuan dengan menghantar kiriman Whatsapp ke nombor 011-20901097 dengan segera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro

Arie berkata, insiden seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan sukar diterima kerana jelas sekali menzalimi haiwan yang patut dilindungi.

“Merakam dan memuat naik video melempar kucing demi mendapat perhatian di TikTok atau apa jua aplikasi laman sosial adalah perbuatan individu tidak berakal.

“Pelaku menganggapnya sebagai satu hiburan sedangkan ia adalah satu jenayah dan satu bentuk kezaliman kerana boleh mendatangkan kecederaan, ketakutan, trauma dan kematian terhadap haiwan yang menjadi mangsa .

“Budaya memperalatkan haiwan demi mengumpul pengikut dan meraih tontonan video yang tinggi perlu dihentikan malah pelaku perlu ditangkap sebagai pengajaran supaya tidak menjadi ikutan pengguna TikTok yang lain,” katanya.