Percutian tragis dua keluarga [METROTV]

IDENTITI tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai menghala ke Cameron Highlands dekat Ipoh, semalam, sudah dikenal pasti termasuk dua pasangan suami isteri serta masing-masing seorang anak mereka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa ialah Mohd Zairul Mat Isa, 34, dan isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30, sementara satu lagi pasangan ialah Zulkifli Shuib, 41, dan isteri, Hasliza Mahmud, 40.

Turut maut ialah ibu serta anak perempuan kepada Mohd Zairul iaitu Fatimah Mat Isa, 68, serta Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4, dan anak kandung kepada Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa yang menaiki Perodua Alza dipandu Mohd Zairul dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala Simpang Pulai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

“Kereta berkenaan seterusnya memasuki laluan treler yang datang dari arah bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan treler itu yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.

“Perodua Alza terbabit kemudiannya terbalik yang menyebabkan kesemua tujuh mangsa maut serta tiga lagi yang cedera parah terperangkap di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa yang parah ialah anak kandung kepada Hasliza iaitu Firash Mikhael Azrie Shah, 11, serta remaja lelaki yang setakat ini hanya dikenali sebagai ‘Apit’, 16.

Sementara seorang lagi mangsa iaitu anak kepada pasangan Mohd Zairul dan Nuratiqah iaitu Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9, dirawat di Zon Kuning.

“Pemandu treler berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, abang kepada Mohd Zairul, Mohd Zakri Mat Isa, 37, ketika ditemui di Unit Forensik HRPB berkata, kejadian berlaku ketika semua 10 mangsa yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan pulang dari bercuti di Cameron Highlands.

Katanya, dia dengan Hazliza adalah sepupu yang mana semua mangsa yang menaiki Perodua Alza terbabit berasal dari Serdang, Kedah yang membabitkan dua kampung berbeza.

KEMALANGAN yang mengakibatkan tujuh maut dan tiga cedera, semalam. FOTO Sharul Hafiz Zam
KEMALANGAN yang mengakibatkan tujuh maut dan tiga cedera, semalam. FOTO Sharul Hafiz Zam

Berita berkaitan

• Perodua Alza masuk laluan bertentangan sebelum terbalik

• 7 maut MPV bertembung lori