Pergerakan antara negeri mulai 1 Mei

INDIVIDU yang terkandas di kampung halaman boleh mengemukakan permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia bermula esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka juga perlu mengemaskini permohonan pada 29 April bagi mengesahkan destinasi perjalanan.

“Pada 1 Mei semua pemohon boleh menyemak status yang dibuat dalam talian berkenaan, tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei.

“Bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Plus adalah diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R), surau ditutup dan tidak dibenarkan melakukan aktiviti solat berjemaah di kawasan R&R.

“Hanya fasiliti tandas awam sahaja dibenarkan beroperasi selain pengguna tidak dibenarkan keluar dari kenderaan kecuali dengan penggunaan tandas awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir berkata, stesen minyak juga akan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam di sepanjang lebuhraya berkenaan.

“Individu yang dibenarkan melakukan pergerakan juga dilarang melakukan aktivit secara berkumpulan sepanjang tempoh kebenaran perjalanan.

“Semua kebenaran adalah melalui aplikasi Gerak Malaysia namun bagi mereka yang tidak mempunyai aplikasi boleh membuat permohonan bertulis di mana-mana balai polis tetapi keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi berkenaan,”katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan