Pergi atau kekal?

TEPUK dada tanya selera! Itu kata jurulatih, Mohd Poad Md Kassim terhadap dua anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi sama ada mahu terus berlatih di bawah bimbingannya atau beralih angin di bawah kendalian pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Miller.

Mereka yang juga raja pecut Asia Tenggara 2017 dan 2019 itu kini berlatih di bawah kendalian Miller untuk tempoh dua minggu atas nasihat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Poad ketika dihubungi berkata, dia tetap dengan keputusan untuk tidak menghalang anak didiknya jika mereka berhasrat untuk berhijrah ke Bukit Jalil.

Katanya, beliau tidak pernah memaksa kedua-dua atlet itu terus kekal bersamanya.

Terdahulu Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, MSN adalah lokasi sesuai buat Khairul Hafiz dan Haiqal untuk memantapkan keupayaan masing-masing sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang berikutan memiliki kemudahan lengkap dengan tenaga pakar ramai.

Beliau berkata, KOM hanya mahu yang terbaik buat atlet berkenaan dan tiada isu mahu ‘merampas’.

Bagaimanapun, tindakan KOM itu mencetuskan polemik dalam kalangan pemerhati olahraga negara.

Seorang pemerhati sukan yang enggan dikenali berkata, jika benar MSN menyediakan pakar dan pelbagai kemudahan, mengapa hingga kini masih tiada jaguh pecut dilahirkan daripada sana.

Dia mendakwa Khairul Hafiz dan Haiqal adalah produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Bagaimanapun ada juga pihak berpendapat kedua-dua atlet itu berhak memilih dengan siapa mereka selesa untuk berlatih.

“Tiada salah untuk mencuba sesuatu yang baharu. Beralih angin dengan berlatih di bawah pakar dari Amerika Syarikat. Cuba dulu. Tak serasi pulang semula pada Poad. Mereka masih muda. Ini masa untuk mencuba. Tambahan pula tahun inikan tiada kejohanan besar. Jadi elok juga jika mereka beralih angin,” katanya.