Perintah berkurung di India dilonggarkan, kedai arak pula yang ‘diserbu’ ramai

Dianggarkan 500 orang pelanggan berbaris di hadapan kedai menjual minuman keras itu sebelum polis mengarahkan ia ditutup. – Reuters/Adnan Abidi

NEW DELHI: Beberapa jabatan kerajaan di New Delhi kembali dibuka hari ini apabila bandar raya itu mula melonggarkan kawalan dan perintah berkurung selepas 40 hari.

Namun kelonggaran itu nampaknya membawa maksud lain bagi sesetengah penduduk.

Ratusan pelanggan dilihat menyerbu sebuah kedai minuman keras seawal jam 9.30 pagi.

Dianggarkan sekitar 500 orang pelanggan berbaris di hadapan kedai yang terletak di wilayah Kalyan Puri itu, sebelum polis tiba untuk mengarahkan kedai itu ditutup dan orang ramai bersurai, kata seorang saksi kepada Reuters.

Perintah berkurung di India mula dilonggarkan di beberapa kawasan bermula hari ini, namun kawalan pergerakan masih diteruskan sehingga 17 Mei ini.

Biarpun terdapat risiko peningkatan kes, namun kerajaan India mengambil langkah membuka ekonomi bagi menstabilkan semula kewangan negara di samping membantu mereka yang terjejas teruk tanpa pendapatan sepanjang perintah berkurung.

"Tiada pilihan, kita perlu belajar menyesuaikan diri hidup dengan adanya virus COVID-19 ini dalam kalangan kita.

"Apa yang penting, ambil langkah keselamatan," kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal.

India mencatat lebih 42,000 kes positif dengan lebih 1,300 kematian akibat wabak berkenaan setakat ini.