Perlu bantuan ‘talian hayat’

CABARAN industri bola sepak negara bakal bermula dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila pasukan yang bergantung kepada dana kerajaaan negeri kemungkinan besar akan terjejas apabila peruntukan kepada mereka berkurangan.

Malah, industri bola sepak akan melalui situasi terumbang ambing apabila mungkin tidak mendapat ‘perhatian’ kerajaan negeri untuk menyuntik dana berikutan peruntukan digunakan untuk memulihkan ekonomi dan hal lain yang lebih penting.

Mengikut rekod, sekurang-kurangnya 10 pasukan Liga Malaysia (Liga M) bergantung kepada dana kerajaan negeri bagi ‘menggerakkan’ pasukan termasuk membabitkan pembayaran gaji dan program pembangunan akar umbi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa berkata, sekarang ini keputusan terletak kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menentukan sama ada Liga M diteruskan atau sebaliknya.

Beliau berkata, keputusan segera daripada dua organisasi terbabit penting bagi memberi peluang dan ruang kepada pasukan bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku termasuk menyelesaikan segera isu gaji bersama pemain masing-masing.

“FAM perlu buat keputusan segera sama ada mahu menerus atau membatalkan Liga M supaya beban pembayaran gaji pasukan bertanding boleh diputuskan dengan cepat.

“Melihatkan keputusan peperiksaan utama yg ditangguhkan pada tahun depan dan kemasukan pelajar universiti awam juga ditangguhkan hingga tahun depan memberikan signal bahawa kerajaan tidak membenarkan perhimpunan ramai.

“Malah, melihatkan kekangan pasukan yang banyak bergantung kepada dana daripada kerjaaan negeri sudah tentu tidak menyebelahi industri bola sepak. Nyata mereka dan penaja lebih utamakan kebajikan rakyat serta pekerja namun bukan untuk sukan terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain itu, beliau juga berkata, menerusi maklumat dikeluarkan beberapa pihak yang menjangkakan industri sukan akan pulih dalam tempoh setahun lagi sekali gus menyaksikan industri bola sepak negara akan suram untuk tempoh akan datang.

“Jika FAM dan MFL lambat membuat keputusan kemungkinan akan menimbulkan lebih banyak lagi masalah pada masa akan datang terutama membabitkan soal tunggakan gaji pemain. “Ada perkara agak berat untuk melaksanakan keputusan terbabit namun demi kebaikan semua perkara terbabit perlu dilakukan,” katanya.