Pernah dikata bodoh kerana tolong orang – Ebit Lew

KESUKARAN hidup sejak kecil tidak pernah mematahkan semangatnya untuk mengecapi kejayaan dan berbakti semula kepada masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook (FB), Ustaz Ebit Lew berkongsi kisah jatuh dan bangunnya dan menafikan ia

berniat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi supaya dapat diteladani.

“Syukur pada Allah yang Maha Kaya dan Maha Penyayang. Berkat doa mak ayah. Berkat cinta kasih sayang pada isteri. Doa ramai orang baik-baik. Allah beri rezeki mencurah-curah.

“Ramai tanya saya soalan bukan-bukan. Saya bekerja dan berniaga sudah lebih 10 tahun.

“Dulu saya tidur di masjid. Pernah tidur atas guni. Dari kecil berdakwah dan menyebarkan kasih sayang.

“Soalan paling banyak saya dengar nanti kau sibuk tolong orang sana sini habis hilang dunia.

“Kau nak jadi apa dah besar. Sampailah universiti. Ramai tak nak ambil saya bekerja sebab selekeh dengan janggut kopiah lagi dan kasut pun buruk.

“Dulu sekolah stokin pun tiada. Waktu itu susah betul.

“Duit gaji beri semuanya kepada mak, RM800 dengan banyak kerja. Saya walau ada sepinggan nasi kongsi dengan kawan. Ada orang masuk RM2 dekat poket sebab tolong isi minyak. Saya menangis dapat RM2 itu. Besar nilai untuk saya,” katanya di FB, semalam.

Beliau mula bekerja sebagai pelatih dan penceramah motivasi dengan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Mohd Hanim Tahir selama empat tahun dan selepas itu, mula bekerja sendiri.

“Syukur syarikat minyak dan kapal buat program kerja dalam pasukan (team building) dengan saya.

“Syarikat kerajaan juga ada buat program untuk seluruh kementerian dan program keluarga sunnah sekali hadir 7,000 orang.

“Saya keliling seluruh Malaysia. Syukur ramai yang mendapat manfaat. Buat di hotel lima bintang dan dewan besar. Persiapan seperti konsert sebagai daya tarikan dan lebih selesa.

Team building training sebelum ini mereka bayar syarikat luar negara dan syarikat besar dan mereka sudah mula mencari yang ada nilai Islamik,” katanya yang turun mempunyai tiga restoran, Paramount Coffee House.

Ebit berkata, sebenarnya dia bercadang untuk membuka restoran itu di seluruh Malaysia serta luar negara, namun belum berkesempatan berbuat demikian.

Selain restoran, beliau turut membuka butik pertamanya dan jubah jualannya habis terjual pada hari pertama ia beroperasi.

“Selepas itu saya makin semangat. Syukur rezeki makin melimpah ruah, kemudian saya menulis sembilan buku dan semua buku laris dijual.

“Buku yang sudah lapan tahun ditulis juga masih laris sampai sekarang.

“Tambahan lain, YouTube dan Facebook. Rupanya YouTube dan Facebook bayar banyak juga kerana mereka tumpang iklan di FB dan YouTube saya.

“Syukur sudah dua tahun saya ada dua program televisyen, Door to Door Ebit Lew di Astro Aosis dan A Bit With Ebit di TV Al-Hijrah.

“Dua program saya sendiri sudah memasuki dua musim. Saya ada juga dapat bayaran syarikat media untuk iklan dan kakitangan tetap saya ada 55 orang,” katanya yang juga mempunyai 40 kakitangan sukarelawan yang turut dibayar.

Beliau yakin Allah memberi rezeki, namun dua perkara paling penting adalah rajin dan yakin kerana tiada tempat di dunia dan akhirat untuk orang yang malas.

“Yakin pada Allah. Allah beri rezeki. Dia punya semua. Tiada kita punya. Jaga solat awal waktu. Bila susah selalu beri masa solat sunat, Tahajud dan Dhuha. Jaga mak ayah dan mentua dengan baik.

“Jangan kedekut dengan isteri dan anak-anak. Beri kasih sayang. Pelukan dan kasih sayang. Tanpa doa bidadari saya dan anak-anak pasti tak dapat semua ini. Allah beri rezeki.

“Dulu ingat lagi selalu bila jumpa orang susah baju buruk pergi masjid. Saya tanggal jubah saya beri dekat dia.

“Dia nak selipar beri selipar. Sampai orang kata saya bodoh. Kau susah nak tolong orang. Saya sedih. Tapi saya yakin Allah pasti balas. Sekarang anak jalanan saya bawa berbelanja di Sogo.

“Tiada yang berkuasa melainkan Allah kerana dunia sementara sahaja, akhirat selamanya. Miskin atau kaya bukan pada rumah kereta, tetapi pada hati.

“Sahabatku percayalah di sebalik ujian ada rahmat. Barang siapa bekerja untuk membantu seramai mungkin orang miskin dan anak yatim dia sedang berjihad di jalan Allah.

“Penting didik anak rajin. Didik anak jadi orang kaya bertakwa, jadi pemimpin dan didik anak jadi terkenal dunia dan akhirat. Supaya kita semua menjadi duta Islam dan membawa akhlak Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Berita berkaitan

• Keluarga daif terpaksa tolak rumah sewa Ustaz Ebit

• Ustaz Ebit Lew kembali menyumbang

• Tohmahan untuk cemar imej – MB Kedah

• Tohmahan untuk cemar imej – MB Kedah

• Polis tak halang Ebit Lew buat kebajikan

• ‘Ebit Lew tak perlu simpan dalam hati’

• S’Ustaz Ebit Lew tak bersalah’

• Saya menangis beri keterangan kepada polis – Ebit Lew

• Keluarga daif terpaksa tolak rumah sewa Ustaz Ebit

• 6 beranak huni pondok dapat rumah baharu

• Ujian ini kerana Allah sayang kita – Ebit Lew