Pernah jumpa Mat Kilau

Kuala Terengganu: “Kembara Merdeka kami kali ini sangat bermakna apabila berpeluang bertemu dengan individu pernah bertemu Mat Kilau,” kata Ishak Mohamad, 58, dan Md Nasir Ahmad, 61.

Dua sahabat dari Alor Gajah, Melaka yang dalam misi menamatkan Kayuhan Merdeka 2020 berkata, lelaki berusia 70-an itu ditemui ketika mereka tiba di Kampung Budu, Benta, Kuala Lipis, Pahang pada 1 September lalu.

Ishak berkata, walaupun pertemuan dengan lelaki berkenaan singkat, ia satu pengalaman manis dan berharga apabila banyak cerita mengenai kemerdekaan dikongsi bersama mereka.

Katanya, lelaki berkenaan turut mendakwa pernah bersalaman dengan tokoh pejuang itu.

“Lelaki itu memberitahu ketika itu dia remaja dan Mat Kilau tinggal di kampung berkenaan menyamar sebagai orang biasa.

“Selain itu, Kampung Budu memiliki sejarahnya tersendiri apabila kampung berkenaan pernah dibakar penjajah.

“Malah, perjalanan kami selama 23 hari bermula 25 Ogos lalu bukan sekadar kembara sejarah, tetapi kembara ilmu dan berkongsi banyak cerita kemerdekaan dengan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya di sini, kelmarin.

Kedua-dua pengayuh basikal veteran itu tiba di bandar raya ini, kelmarin sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan, Pahang.

Kemudian, mereka dijadualkan meneruskan kayuhan ke Mersing dan Kluang, Johor sebelum menamatkan misi sejauh sejauh 1,002 kilometer itu di Melaka pada 16 September ini.

Ishak yang juga bekas pegawai khas kepada bekas Pengerusi Rural Capital Berhad, Tan Sri Abu Seman Yusop berkata, selain pengalaman manis, sebagai pengembara mereka tidak terlepas daripada berdepan cerita pahit.

Sementara itu, Md Said yang juga pesara tentera dan bekas jurulatih di Kem Wawasan Negara berkata, program jelajah berbasikal kali ini adalah kembara ketiga mereka sempena Hari Kebangsaan sejak 2018.

Katanya, dalam kembara pertama mereka menunggang motosikal menjelajah Semenanjung manakala kali kedua pada tahun lalu menggunakan kereta.