‘Pernikahan kami akan jadi kenangan sepanjang hayat’ [METROTV]

PASANGAN pengantin baru mengambil keputusan meneruskan majlis pernikahan mereka hari ini, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis akad nikah Abdul Khalib Abdullah, 27, dan isterinya, Nurul Fatihah Mat Husin, 27, berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu menjaga jarak sosial, memakai topeng muka dan turut menyediakan cecair pembasmi kuman.

Majlis yang berlangsung secara sederhana hanya dihadiri 10 ahli keluarga bagi kedua-dua belah pihak dan hanya diadakan selama 15 minit tanpa sebarang majlis kenduri.

Abdul Khalib berkata, dia sudah merancang majlis pernikahan sejak Januari lalu dan memandangkan segala dokumen sudah selesai diuruskan sebelum tempoh PKP, maka majlis pernikahan diteruskan seperti biasa.

“Mengikut perancangan asal, kami bernikah pagi ini sebelum disusuli majlis persandingan di sebelah isteri manakala majlis di pihak saya pula pada hari ketiga Aidilfitri nanti.

“Selepas dimaklumkan tempoh PKP dilanjutkan, saya bertanyakan jurunikah kami sama ada masih boleh bernikah dan beliau memaklumkan tiada masalah memandangkan segala urusan dokumen sudah selesai.

“Namun, majlis akad nikah kami tiada majlis seperti pasangan lain. Hanya majlis akad nikah semata-mata hanya orang terdekat datang bagi mengelak daripada berkumpul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan di Kampung Bukit, Pasir Puteh, hari ini.

Kesemua tetamu yang hadir memakai topeng muka termasuk pengantin selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman.

Abdul Khalib berkata, walaupun majlis akad nikah mereka tidak meriah seperti pasangan lain, namun beliau bersyukur urusan mereka dipermudahkan dan mereka selamat bernikah.

“Nampak biasa namun majlis kami hari ini akan menjadi kenangan yang akan dikenang sehingga akhir hayat.

“Tarikh baharu majlis kami selepas ini belum diputuskan memandangkan wabak Covid-19 belum pulih lagi. Mungkin akan ditetapkan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada pengantin perempuan, Mat Husin Mohammad, 55, bersyukur majlis pernikahan anaknya berjalan lancar.

“Sebelum ini kami sudah menjemput 500 tetamu untuk kenduri perkahwinan hari ini, namun siapa sangka berlaku wabak Covid-19 dan majlis terpaksa dibatalkan.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada saudara mara supaya tidak perlu datang kerana majlis akad nikah dibuat secara sederhana,” katanya.

MAJLIS akad nikah Abdul Khalib dan Nurul Fatihah berlangsung mengikut SOP PKP. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAJLIS akad nikah Abdul Khalib dan Nurul Fatihah berlangsung mengikut SOP PKP. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan