Persembahan akustik Khai

IMPIAN peminat untuk menyaksikan konsert sulung Khai Bahar iaitu Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia belum kesampaian selepas ia ditunda ekoran penularan wabak Covid-19.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 27 Mac lalu di Istana Budaya itu difahamkan akan dibuat di lokasi lain namun masih menunggu tarikh baharu daripada pihak penganjur.

Pun begitu, bagi mengubat kerinduan peminat, Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin bakal muncul dalam Konsert Live Stream Khai Bahar yang diadakan secara ‘virtual’ pada 15 Disember ini.

Menerusi konsert yang dibawakan aplikasi goceb itu, Khai bakal menyanyikan sembilan lagu popularnya dan disampaikan secara langsung secara akustik.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada goceb kerana memilih saya untuk menjayakan konsert ‘live stream’ ini. Sedikit sebanyak konsert ini mengubat kerinduan peminat yang mahu menyaksikan persembahan daripada saya.

“Kalau sebelum ini peminat hadir memberi sokongan pada setiap persembahan membabitkan saya, tapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan perkara itu sudah tidak ada. Apatah lagi kebanyakan program hiburan sekarang tidak membabitkan penonton.

“Walaupun ini adalah konsert secara dalam talian, saya berharap peminat akan berpuas hati. Insya-Allah, saya akan cuba memberikan persembahan terbaik dan ‘feel’ dapat dirasai semua yang menonton di rumah. Persembahan saya nanti diiringi secara akustik. Pastinya ia sesuatu yang menarik. Saya juga tidak sabar untuk menghiburkan semua,” katanya.

Antara lagu yang akan dipersembahkan adalah Bayang, Luluh, #123, Air Mata dan Durja.

Sebelum itu, Khai terlebih akan terbabit dalam Konsert Ulang Tahun ke-20 Inteam pada 12 Disember ini.

TERPAKSA tolak tawaran berlakon ekoran komitmen kerja sedia ada.
TERPAKSA tolak tawaran berlakon ekoran komitmen kerja sedia ada.

Ditanya mengenai konsert sulungnya, Khai berkata, dia masih menaruh harapan supaya konsert itu dapat dilaksanakan.

“Kalau ikutkan persiapan konsert itu sudah lebih 50 peratus. Tapi, keadaan tidak mengizinkan untuk ia diteruskan. Bukan saja peminat, tapi secara peribadi saya berharap konsert ini akan dapat dilaksanakan. Semoga ada berita baik untuk semua.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada penganjur untuk menjayakan konsert ini. Sebagaimana saya sabar menunggu, saya harap peminat juga sama. Saya yakin apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Berjimat cermat

Sepanjang sembilan bulan bergelut dengan penularan Covid-19 sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Khai mengakui sedikit sebanyak terjejas dari segi pendapatan.

Namun, Khai berkata, apa yang berlaku mengajarnya banyak perkara terutama lebih beringat soal masa depan.

“Macam orang lain juga, tipu kalau cakap saya tidak terjejas. Cuma, secara peribadi ia tidak memberikan tekanan besar buat saya. Mungkin sebab saya bukan jenis yang suka membazir atau bergaya hidup mewah. Saya lebih kepada seadanya dan bersederhana dalam setiap perkara.

“Alhamdulillah, apa yang berlaku ini membuka mata saya supaya lebih beringat pada masa depan. Kita tidak pernah tahu apa akan berlaku esok atau lusa. Jadi, saya bersyukur dengan rezeki yang tidak pernah putus ini,” katanya.

Dalam pada kebanyakan penyanyi mencuba bidang lakonan demi kelangsungan hidup, Khai yang pernah muncul dengan drama Satukan Rasa di saluran Astro tahun lalu berkata, dia terpaksa menolak ekoran komitmen kerja sedia ada.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang menawarkan lakonan. Tapi, saya terpaksa tolak secara baik disebabkan kekangan jadual kerja dan masa. Bukan apa, sudah ada beberapa komitmen lain yang tersedia dan ia bertembung dengan jadual.

“Saya tidak mahu menyusahkan pihak berkenaan semata-mata perlu mengikut jadual saya. Tidak mengapa, saya anggap belum ada rezeki lagi untuk kembali ke kaca TV. Tapi, saya sentiasa terbuka untuk berlakon.

“Biarpun lakonan adalah cabang baharu buat saya, tapi ia sesuatu yang menyeronokkan. Banyak pengalaman ditimba sebelum ini. Malah, saya ingin belajar banyak lagi. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan kena dengan waktu, saya pasti berlakon juga,” katanya.