Pertembungan JDT, Selangor dinanti peminat

Johor Bahru: Antara sentuhan Latin atau DNA Jerman, taktikal jurulatih mana mampu mencorak permainan ampuh bagi memburu kemenangan tatkala Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Benjamin Mora melayan kunjungan Selangor FC di bawah kendalian Karsten Neitzel.

Pertembungan dua gergasi bola sepak negara sememangnya dinanti peminat bola sepak tanah air dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini yang bakal menyajikan aksi penuh dramatik.

Apapun, sudah ada rombakan kecil mungkin dilakukan Mora selepas kelibat Safawi Rasid terpaksa diketepikan akibat kecederaan ketika skuad Harimau Selatan menentang UiTM FC, Sabtu lalu yang memaksa ayam tambatan pasukan itu perlu berehat sekurang-kurang dua minggu.

Namun, kelicikan Arif Aiman Mohd Hanafi berjaya mencuri tumpuan selepas aksinya ketika membantu JDT menumpaskan skuad kendalian Frank Bernhardt 4-0 dan turut menyumbang satu gol bakal mengisi posisi yang ditinggalkan Safawi.

Malah, pengendali kelahiran Mexico itu juga mempunyai pilihan sama ada menyenaraikan Ramadan Saifullah Usman atau Mohamadou Sumareh beraksi di posisi sayap kanan dan pastinya ia tidak merencatkan perancangan untuk meneruskan momentum kemenangan.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) bakal membariskan barisan idamannya apabila melayani kunjungan Melaka United FC (MUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam ini.

Skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain itu dijangka menurunkan bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd bergandingan dengan pemain berdarah campuran Filipina-Sepanyol, Carli De Murga.

Penyerang sensasi kelahiran Brazil, David Da Silva pula akan memainkan peranan sebagai penggempur utama pasukan untuk memburu gol.

Sebelum ini, dua tonggak import itu terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan ringan, tempat mereka masing-masing digalas pemain muda, Shahrul Nizam Ros Hasni manakala penyerang pasukan ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah memikul tugas sebagai penggempur utama skuad itu.