Pertuduhan kes baharu Guan Eng bermula

Butterworth: Petugas media menunggu sejak jam 8 pagi tadi di luar perkarangan Mahkamah Sesyen, di sini, bagi membuat liputan kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Suasana di luar perkarangan mahkamah kini sesak dengan kehadiran lebih 50 penyokong yang bersolidariti untuk Setiausaha Agung DAP itu namun ia masih terkawal.

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di lokasi bagi memberi amaran supaya semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sibuk mengawal keadaan lalu-lintas.

Terdahulu, Guan Eng, 60, tiba di mahkamah pada jam 10.42 pagi ditemani isterinya, Betty Chew Gek Cheng dan bapanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin dilaporkan berkata, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang akan menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta.

Perkara itu dimaklumkan Wan Shaharudin pada sebutan kes rasuah Guan Eng yang didakwa meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pihak pendakwaan sudah menyerahkan notis kepada tertuduh semalam untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu adalah berkaitan kesalahan menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, satu lagi pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng berhubung kes sama di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 10 Ogos lalu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, untuk dibicarakan bersama.

Pertuduhan itu ialah menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pertuduhan itu dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding hari ini, dan Guan Eng mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Pada prosiding itu, Guan Eng diwakili oleh peguam, Gobind Singh Deo.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan tarikh 12 Oktober depan bagi sebutan semula kes.