Perut Gopi asyik kembung

LINCAH dan tangkas di atas padang tidak semestinya membuktikan pemain bola sepak kental dalam mengharungi ibadah puasa terutama kepada individu yang kali pertama menunaikan rukun Islam ketiga itu.

Perkara terbabit diakui pemain Pahang, R Gopinathan atau nama Islamnya, Gopi Rizqi apabila kali pertama menunaikan ibadah puasa menyebabkannya hampir ‘tumbang’ menahan lapar dan dahaga.

Malah, pemain yang beraksi di posisi sayap itu mengakui perutnya kembung dan sentiasa menunggu saat berbuka puasa ketika hari pertama menunaikan ibadah berkenaan.

“Awal Ramadan memang perut kembung sebab tak pernah puasa dan rasa dahaga sangat serta lapar. Kali pertama memang mencabar, namun apabila memasuki hari kedua dan ketiga sudah tiada masalah cuma saya kena sahur untuk bertahan tidak makan serta minum hingga maghrib,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PDRM itu memeluk Islam tahun lalu selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Pejabat Jabatan Agama Islam Pahang.

Gopi juga menggunakan nama baharu iaitu Muhammad Gopi Rizqi Bin Rama Chandra seterusnya melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya yang berketurunan Melayu.

Sementara itu, Gopi berkata, situasi paling menyeronokkan ketika menunaikan ibadah itu adalah menunggu saat berbuka puasa bersama ahli keluarga.

“Keluarga isteri banyak mengajar mengenai beberapa perkara berkaitan Islam dan pada tahun ini saya berpuasa bersama mereka. Sudah tentu begitu seronok apabila dapat berbuka puasa bersama,” katanya.