Pesakit maut jatuh tingkat 7 bangunan hospital

PESAKIT lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hospital di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun dikatakan baru mendaftar masuk ke wad pada 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan pesakit terjatuh daripada bangunan hospital berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa tidak menjumpai kesan yang meragukan atau ada kaitan dengan unsur jenayah.

“Pengawal keselamatan yang bertugas di lobi pintu utama hospital berkenaan terdengar satu bunyi dentuman agak kuat di kawasan tempat letak kereta.

“Apabila keluar untuk membuat pemeriksaan, dia menemui seorang lelaki sedang terbaring dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia lalu menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, tiada saksi yang menyedari kejadian kerana pada ketika itu pesakit lain juga sedang tidur.

“Setakat kini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat,” katanya.