Pesan sebelum ke Makkah

TEGAS dalam pengajian dan menjadi inspirasi kepada sistem pendidikan Islam moden di Selangor.

Itu sikap dan jasa besar tokoh ulama tempatan, Allahyarham Kiai Muhammad Khalil Abu Ammar.

Kiai Muhammad Khalil mahir dalam bidang nahu, saraf dan cabang keilmuan Islam yang lain, malah kitab tulisannya diwakafkan kepada pusat pengajian sekitar Tanah Suci Makkah apabila Allahyarham meninggal dunia di Kota Suci berkenaan pada 1978 tatkala mengerjakan haji.

Setiap anak murid yang melakukan kesalahan akan dirotan dan begitulah ketegasan Kiai Muhammad Khalil dalam melengkapkan keilmuan anak muridnya.

Hikmah perbuatan itu ialah ia dapat memastikan setiap penuntut sentiasa mengambil berat mengenai ilmu.

Anak Allahyarham Kiai Muhammad Khalil, Mahfuz menceritakan, amanat terakhir bapanya turut mengubah kehidupannya.

Kini, Mahfuz menjadi pendakwah yang tegas mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

MAHFUZ
MAHFUZ

“Sebelum arwah ayah berangkat ke Tanah Suci Makkah, beliau ada berpesan kepada kami. Antara lain berbunyi: “Jika aku mati di Makkah nanti, pergilah belajar di sekolah pondok dan mendalami ilmu agama.”

“Selepas saya telusuri guru-guru arwah ayah, saya dapati beliau pernah berguru dengan Kiai Hashim Asya’ari yang juga anak murid kepada seorang tokoh ulama nusantara tatkala itu iaitu Kiai Khalil al-Bengkalani.

“Arwah ayah pernah dilantik menjadi mudir di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin (Madrasah Hisamuddin), Klang dan pusat pengajian itu melahirkan ramai tokoh di bawah seliaan arwah ayah dan guru lain antaranya adalah Allahyarham Tan Sri Hasan Azhari.

“Hubungan ayah dan anak muridnya (Hasan) sangat baik dan dia antara anak murid yang rapat dengannya,” katanya.

Menurut Mahfuz, arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqla sangat tegas terutama dalam pengajian agama khasnya membabitkan isu akidah.

Mahfuz berkata, ia menjadi titik tolak buat dirinya supaya serius tatkala berdepan dengan masalah akidah.

Katanya, arwah bapanya juga banyak mengarang kitab dengan menulisnya sendiri dan ia termasuk ringkasan kitab utama termasuk daripada kitab Imam Sayuthi RA.

“Berdasarkan makluman daripada Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari, kebanyakan kitab arwah ayah diwakafkan kepada pusat pengajian di sekitar Tanah Suci Makkah.

“Inspirasi arwah ayah itu membuatkan saya makin kuat untuk terus berdakwah,” katanya yang juga pemilik Pusat Tahfiz Luqmanulhakim di Rawang, Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19