‘Pikachu’ hantar barang

Kuala Lumpur: Minatnya terhadap watak Pikachu dalam siri animasi popular dari Jepun membawa ilham kepada penghantar barangan persendirian di Batu Pahat, Johor menjadikannya konsep dalam perkhidmatannya.

Bagi Muhammad Raihan Jumali, 23, dia tidak menyangka perkhidmatan yang baru diusahakannya Februari lalu itu mencuri tumpuan warganet di media sosial apabila ia dimuat naik seorang pengguna Twitter yang mengagumi kerjayanya.

“Sejak kecil lagi saya suka menonton siri animasi Pokemon dan meminati watak Pikachu. Malah, warna kuning juga adalah warna kegemaran saya.

“Motosikal itu baru saja dibeli Jun lalu dan tampal pelekat Pikachu pula Ogos dengan kos RM350,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, anak bongsu dari tujuh adik beradik itu berkata, dia mengusahakan perkhidmatan itu atas dasar minatnya menunggang motosikal.

Katanya, faktor ingin menambah pendapatan dan mencari pengalaman membuatkan dia tidak mahu hanya bergantung pada pekerjaan di bawah bapanya saja.

“Impian saya dalam masa dua atau tiga tahun lagi saya dapat membuka sebuah perkhidmatan penghantaran.

“Syukur, sejak menjadi penghantar barangan, ramai yang menggunakan perkhidmatan ini terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu,” katanya.

Muhammad Raihan berkata, dia memilih berhenti sekolah di Tingkatan 4 semata-mata ingin membantu meneruskan perniagaan bapanya.

“Adik-beradik yang lain sudah besar dan mempunyai kerjaya sendiri di luar Johor. Tinggal saya dan arwah ibu saja yang dapat membantunya ketika itu.

“Jadi, saya pilih membantu ayah, rugi jika ia ditutup kerana perniagaan kedai sup kambing itu sudah bertapak 24 tahun di Sri Gading, Batu Pahat,” katanya memberitahu, tidak pernah menyesal dengan keputusannya berbakti kepada keluarga.

Katanya, dia bekerja sebagai penghantar barangan persendirian dengan nama perkhidmatan, Raihan Runner pada sebelah siang.

“Waktu malam pula membantu ayah di kedai yang diberi nama Raihan Corner. Sebenarnya, ayah jenamakan semula kedainya pada 2010 sempena nama saya atas kecemerlangan memperoleh 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan perkhidmatannya, Muhammad Raihan berkata, ia agak perlahan memandangkan orang ramai sudah dibenarkan keluar membeli barangan.

Antara kawasan penghantaran yang disediakan Raihan Runner ialah di Ayer Hitam, Parit Raja, Jalan Parit Botak, Senggarang, Sri Gading, Parit Yaani dan Yong Peng.

Raihan Runner beroperasi setiap hari dengan caj penghantaran serendah RM3 pada jarak kurang lima kilometer (km) dan tambahan 50 sen saja untuk satu km seterusnya.