Pilih jadi Vin Diesel atau Ben Amir

SELEPAS tular di laman sosial aksi beberapa lelaki memakai ‘baju kelawar’ menjadi perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya baru-baru ini, masyarakat Malaysia sekali lagi ‘dijentik’ dengan gelagat kaum adam itu.

Kali ini, rata-rata kaum adam mengeluh mengenai keadaan rambut mereka yang telah memasuki hari ke-26 tanpa mendapat sentuhan daripada tukang gunting rambut.

Biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga membenarkan kedai gunting rambut beroperasi, namun isu premis ini menjadi ‘hangat’ apabila warganet melontarkan pandangan dan kebimbangan mereka susulan keputusan kerajaan membenarkan kedai itu kembali ‘membuka pintu’.

Situasi ini sekali gus meletakkan kaum adam di persimpangan dalam memilih cara termudah menyelesaikan masalah rambut mereka yang semakin hari ‘merimaskan’ sementelah tukang gunting rambut kegemaran mereka terpaksa ‘menggantung’ gunting sepanjang PKP ini.

Jika dihitung rasional dengan keadaan sekarang, mungkin saat ini pilihan terbaik yang ada pada kaum lelaki adalah memilih gaya seperti pelakon Hollywood terkenal Vin Diesel – berimej botak atau pelakon tempatan, Ben Amir yang terkenal dengan gaya rambut panjang yang diikat ala ‘man bun’ dan ‘ponytail’.

Bagi Iskandar Reqzi Irwan, 30, keinginannya untuk kembali berambut panjang seolah-olah termakbul apabila isterinya tiada alasan lagi menyuruhnya memotong rambut.

“Dulu saya memang berambut panjang, suka bertocang ala bun style, sebab minat David Beckham. Namun disebabkan isteri saya kurang suka, saya potong. Bagaimanapun, sejak kedai gunting rambut ditutup disebabkan PKP, saya sengaja biarkan rambut saya panjang.

“Lagipun bagi saya, tak susah nak uruskan rambut panjang, mungkin sebab sudah biasa,” katanya yang bertugas sebagai akauntan.

Sanggup berhabisan untuk memanjakan rambutnya, Reyhan Hilman, 30, pula mengakui rambutnya yang disimpan panjang sehingga paras bahu sejak lima tahun lalu, kini sedikit terabai tanpa dandanan dari kedai gunting rambut kegemarannya yang terletak di Damansara.

“Sekarang, saya rapikan hujung rambut dan jambang sendiri dan itu tidak ada masalah. Cuma rasa tak puas apabila cuci rambut. Buat masa ini, saya hanya reda apabila warna rambut dah tak cantik,” katanya.

Bagi yang tidak pernah berambut panjang pula, sudah tentu penutupan kedai gunting rambut sejak 18 Mac lalu menambahkan kerimasan apabila terpaksa ‘berkurung’ seharian di dalam rumah.

Berkongsi cerita, Nadzarul Amir Zainal Azam, 41, menjelaskan beliau yang sememangnya tidak biasa berambut panjang, agak terkesan dengan penutupan kedai gunting rambut memandangkan dia selalu ke premis itu sekali atau dua kali sebulan.

“Disebabkan telah menjangka PKP dilanjutkan lagi dua minggu, saya mengambil keputusan untuk membeli ‘trimmer’ secara dalam talian yang berharga bawah RM100.

“Lagipun ayah saya sendiri mengatakan dia rimas rambutnya juga sudah panjang. Jadi, saya pun tidak teragak-agak membelinya,” katanya yang kali terakhir memotong rambut kira-kira dua minggu sebelum PKP fasa pertama bermula.

Tambah Nadzarul Amir, dalam keadaan sekarang yang rata-ratanya perlu mengambil pendekatan berhati-hati kerana penularan wabak COVID-19, beliau lebih selesa untuk memotong sendiri rambut, walaupun terpaksa menggunakan trimmer.

“Susah nak pastikan adanya jarakan sosial dan mekanisme pembersihan peralatan yang digunakan seperti gunting, sikat dan pelapik jika pergi gunting di kedai rambut pada waktu begini. Jadi, lebih praktikal beli trimmer secara dalam talian. Saya beli yang harga standard kerana kalau terlalu murah, cepat pula rosak nanti,” katanya.

Berbeza dengan ketua jurulatih pasukan berbasikal Johor, Junaidi Mohamad Nasir, beliau dari awal lagi sudah merancang agar isterinya Asmadilah M. Noor memotong rambutnya jika PKP dilanjutkan.

“Pada awalnya, isteri memang tidak yakin tapi saya paksa suruh potong juga, sebab saya cepat sakit kepala kalau rambut dah mula panjang, yang kebetulannya jenis berambut tebal.

“Lagipun kalau kedai rambut buka sekarang pun, saya tidak berani untuk pergi kerana faktor keselamatan. Kita tidak tahu siapa yang datang ke kedai itu, nanti wujud pula kluster potong rambut,” kata Junaidi yang juga bekas Penolong Jurulatih Basikal Trek Negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan