Pilihan raya Korea Selatan: Parti Demokrat menang besar

Lee Nak-yon meraikan kejayaan selepas selesai proses pilihan raya di Seoul, Korea Selatan, 15 April, 2020. (Foto AP)

PARTI Pemerintah Korea Selatan, Parti Demokrat, mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu pada Rabu.

Pilihan raya tersebut menyaksikan kehadiran pengundi tertinggi sejak 1992, walaupun berlangsung ketika penularan pandemik COVID-19.

Parti Demokratik yang berkuasa, bergabung dengan parti satelit yang ditubuhkan untuk memenangi kerusi perwakilan, menang 180 kerusi di Dewan Negara yang mempunyai 300 kerusi, menurut pegawai pilihan raya selepas selesai proses pengiraan undi pada Khamis. 

Hampir 29 juta rakyat Korea Selatan mengundi secara fizikal atau pos, meningkatkan peratusan kehadiran pengundi kepada 66.2 peratus.

"Kami memikul tanggungjawab yang berat dan menakutkan. Rakyat telah memberi kami banyak kerusi di Parlimen, oleh itu, kami diberi mandat yang amat berat.

"Seperti dikehendaki oleh rakyat kita, kami akan beri tumpuan terhadap tugas utama iaitu menangani COVID-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi," kata Lee Nak-yon, bekas perdana menteri di bawah pentadbiran sebelum ini.

BACA: COVID-19: Kemungkinan perintah 'lockdown' susulan di Korea Selatan

Pandemik COVID-19 menyaksikan persekitaran pilihan raya yang unik di negara itu tahun ini.

Petugas pilihan raya memakai pakaian perlindungan dan disembur dengan cecair pembasmi kuman.

Penanda juga diletakkan di lantai bagi memastikan pengundi mengamalkan penjarakan sosial.

BACA: Rakyat Korea Selatan keluar mengundi di sebalik kebimbangan jangkitan COVID-19

Rakyat yang dikuarantin diarahkan mengundi selepas waktu pengundian biasa berakhir pada jam 6 petang, dan diiring ke pusat pengundian serta dipantau secara digital.

Sementara itu, kira kira 400 pengundi yang mempunyai gejala ringan dibenarkan mengundi secara pos dua minggu sebelum tarikh pilihan raya.

BACA: COVID-19: Rakyat Korea Selatan pilih mengundi awal